PARLIMEN | Kementerian Luar masih belum menerima sebarang permohonan daripada Washington berhubung pencalonan pengulas dan penulis konservatif, Nick Adams, sebagai duta besar negara itu yang baharu ke Malaysia.
Menteri Luar Mohamad Hasan berkata sebarang makluman berhubung perkara itu akan dibawa ke jemaah menteri untuk diberikan pandangan dan pertimbangan sebelum sebarang keputusan dibuat.
“Mengenai Nick Adams, kita belum terima perjanjian daripada AS. Kita biar dulu, kita tengok macam mana.
“Sudah tentu Wisma Putra akan memberikan pandangan dan pertimbangan untuk dibawa ke kabinet dan kabinet akan memutuskannya,” kata Ahli Parlimen Rembau itu pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Mohamad menjawab soalan tambahan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) berhubung pencalonan Adams sebagai Duta Besar AS di Malaysia.
Media antarabangsa sebelum ini melaporkan Presiden Donald Trump mencalonkan Adams – seorang pengulas politik konservatif kelahiran Australia yang kini warganegara AS – sebagai diplomat.
Bagaimanapun Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dilaporkan berkata kabinet masih belum menerima memorandum daripada Wisma Putra berhubung pelantikan itu.
– Bernama