Wikipedia Berkongsi Rekaan Logo-Logo Awal Yang Tidak Dipakai
Effi Saharudin
Wikipedia ialah laman yang cukup ikonik kerana sebelum ChatGPT, ia adalah pustaka ilmu yang memudahkan pemahaman subjek kompleks serta mengulang kaji sejarah ketika bosan di universiti. Minggu lalu ia menyambut ulang tahun ke-25 dan semalam akaun Instagram Wikipedia berkongsi beberapa rekaan logo awal laman yang tidak digunakan.

Sebanyak lima rekaan logo dikongsi dengan ia kelihatan seperti lipan, mata manusia, naga hydra, profil kepala manusia dengan graf Fibonacci dan glob Wikipedia berwarna warni. Kesemua logo ini dihasilkan oleh komuniti Wikipedia berdasarkan input, saranan dan maklum balas yang diterima.

Yang paling menarik perhatian kami ialah logo lipan (centipede) yang mewakili wikipede. Logo yang mungkin nampak tidak komersial tetapi serasi dengan era awal laman web yang mementingkan maksud daripada rekaan yang lebih kemas sekarang.
Bagi yang gemarkan fakta. Wikipedia Bahasa Melayu kini mempunyai 435,698 rencana sejak projek dimulakan pada Oktober 2022 dengan ia dilawati sebanyak 9 juta kali sebulan. Wikipedia Bahasa Melayu kini mempunyai lebih 400 penyunting yang menjaga kualiti. Secara keseluruhannya, terdapat purata 1,276 penyumbang dari Malaysia setiap bulan yang melakukan hampir 53,000 suntingan.





