Malaysia Oversight

Wei Chong-Kai Wun, Xin Yi-Carmen ke pusingan kedua

By Utusan in September 17, 2025 – Reading time 2 minute
Wei Chong-Kai Wun, Xin Yi-Carmen ke pusingan kedua


PETALING JAYA: Beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun berjaya melepasi halangan awal, tetapi, beberapa kesilapan mudah yang dilakukan harus diperbaiki mereka sebelum pusingan kedua Kejohanan Badminton Masters di Shenzhen, , esok.

Pasangan No. 8 dunia itu dipaksa bekerja keras sebelum mengetepikan beregu Perancis, Christo Popov-Toma Junior Popov 21-11, 25-27, 21-15 dalam masa 58 minit pada pusingan pertama di Shenzhen Arena, hari ini.

Kemenangan tersebut menyaksikan Wei Chong-Kai Wun semakin melebarkan rekod pertemuan dengan gandingan No. 17 dunia itu menjadi 4-0.

Kai Wun berkata, pada awal set pertama mereka bermain baik, tetapi, bermula daripada 11 mata, mereka mula kerap melakukan kesilapan mudah.

“Kesilapan itu telah meningkatkan keyakinan lawan dan kami memang berada dalam keadaan tertekan, mainpun tak seronok,” katanya ketika ditemu bual oleh wakil Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas perlawanan berakhir.

Menurut Kai Wun, jurulatih telah menegur mereka supaya lebih fokus dan berani ketika menentang lawan kerana set ketiga hanya ada satu pilihan iaitu perlu mendapatkan kemenangan.

Wei Chong pula berkata, dia dan Kai Wun tidak gementar, cuma mereka tercari-cari balik rentak permainan.

“Baru pusingan pertama, tetapi kami bermain lebih baik berbanding edisi lalu,” katanya yang tersingkir di pusingan pertama pada tahun lepas.

Pada peringkat 16 terbaik, Wei Chong-Kai Wun akan bertemu Leo Rolly Carnando-Bagas Maulana dari Indonesia.

Sementara itu, dalam aksi beregu wanita, gandingan remaja Malaysia, Ong Xin Yi-Carmen Ting tidak berdepan masalah menewaskan Rutaparna Panda-Swetaparna Panda dari India 21-8, 21-13 dalam masa 28 minit.

Xin Yi-Carmen dijangka mengharungi laluan sukar apabila beregu No. 7 dunia, Baek Ha Na-Lee So Hee dari Korea Selatan menanti mereka di pusingan kedua.

Nasib berbeza menimpa satu lagi beregu wanita, Goh Pei Kee-Teoh Mei Xing terpaksa akur di tangan gandingan No. 9 dunia, Li Yi Jing-Luo Xu Min dari 19-21, 21-12, 19-21 dalam masa 1 jam 3 minit. – UTUSAN





Source link