Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy memfailkan saman pemula terhadap Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, dengan mendakwa pelantikan Anwar sebagai ahli parlimen dan perdana menteri melanggar berperlembagaan.
Dalam saman yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Waytha memohon deklarasi bahawa kehilangan kelayakan Anwar sebagai ahli Dewan Rakyat “tidak pernah dibatalkan” oleh Yang di-Pertuan Agong mengikut Perkara 48(3) Perlembagaan Persekutuan.
“Ini merupakan perkara yang melibatkan salah nyata dan tindakan mengelirukan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong (ketika itu) dalam pelantikan defenden sebagai perdana menteri di bawah Pekara 43 Perlembagaan Persekutuan.
“Ini adalah keadaan yang luar biasa dan tidak pernah berlaku sebelum ini di dalam negara kita, di mana keputusan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong diperoleh berdasarkan kehilangan kelayakan atau salah nyata palsu sekaligus menjejaskan peranan Perlembagaan dan kuasa Yang Dipertuan Agong,” dakwanya pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Pengerusi Parti Kemajuan Malaysia (MAP) itu turut memohon mahkamah mengisytiharkan kemenangan Anwar di kerusi Parlimen Tambun pada PRU15, 19 November 2022 terbatal dan tidak sah.
“Plantif Anwar sebagai perdana menteri pada 24 Nov 2022 juga tidak sah.
“Anwar perlu segera berhenti daripada bertindak sebagai ahli parlimen Tambun dan perdana menteri,” katanya.
Waytha mendakwa walaupun Anwar menerima pengampunan penuh pada 16 Mei 2018, instrumen pengampunan itu tidak membatalkan kehilangan kelayakan di bawah Perkara 48(1)(e).

Menurutnya, Perkara 48(3) memerlukan pembatalan secara nyata oleh Yang di-Pertuan Agong, dan tanpa pembatalan itu, Anwar kekal hilang kelayakan sehingga 15 Mei 2023, termasuk ketika bertanding di parlimen Tambun pada November 2022.
Dia juga menuduh Anwar “secara palsu merepresentasikan dirinya” sebagai layak memegang jawatan perdana menteri ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong selepas PRU15.
Anwar sebelum ini disabitkan bersalah atas kesalahan liwat pada 1999 dan 2015, namun kedua-dua sabitan mendapat pengampunan diraja.
Pengampunan 2018 yang diumumkan selepas PH mengambil alih Putrajaya membolehkan dia kembali aktif dalam politik dan memenangi kerusi Parlimen Port Dickson pada pilihan raya kecil tahun sama.
Pelantikan Anwar sebagai perdana menteri pada 24 November 2022 berlaku selepas PRU15 berakhir dengan parlimen tergantung dan dia memperoleh sokongan gabungan PH, GPS, GRS, Warisan serta beberapa ahli parlimen BN.
Diminta mengulas mengapa isu ini dibangkitkan selepas dua tahun setengah pentadbiran Anwar, Waytha berkata ia susulan kemarahan rakyat terhadap kepimpinan perdana menteri itu.
“Kita lihat ramai rakyat Malaysia yang tidak puas hati dengan perdana menteri dan bila saya tengok keluhan rakyat saya pun baca-baca sikit tentang dia, rakyat marah sebab kos sara hidup meningkat, segala janji yang dibuat tidak tepati dan sebagainya, dan bila saya baca saya ternampak dengan perintah pengampunan ini.
“Bila saya tengok ia dengan jelas menyatakan selaras dengan Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan ada sesuatu yang tak kena.
“Saya semak balik dan dapati Perkara 48(1)(e) dan juga 48(3) nyatakan satu yang lain,” katanya.
Waytha menegaskan demi kepentingan awam dan negara, dia bertanggungjawab menegakkan kedaulatan undang-undang serta melindungi integriti demokrasi berparlimen negara.
“Sebelum ini semasa saya jadi menteri saya telah mengangkat sumpah untuk pertahankan Perlembagaan Persekutuan.
“Jadi, saya rasa bersalah bila tidak berbuat apa-apa dan disebabkan itu saya telah ambil keputusan untuk membawa perkara ini ke mahkamah untuk buat keputusan,” katanya.