Pengerusi Parti Pembangunan Malaysia (MAP) P Waytha Moorthy memohon maaf kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim kerana mendakwa dia ada niat tersembunyi di sebalik keputusan untuk tidak melanjutkan tempoh perkhidmatan bekas Ketua Hakim Negara.
“Saya secara silap menyatakan (Anwar) tidak melanjutkan tempoh perkhidmatan bekas Ketua Hakim Negara (Tengku Maimun Tuan Mat) kerana dia sebelum ini pernah memberikan penghakiman melibatkan (Anwar) dalam kes di Mahkamah Rayuan, berdasarkan maklumat yang disampaikan kepada saya sebelumnya.
“Namun, selepas menyemak rekod rasmi kehakiman pagi ini, saya mendapati bahawa (Tengku Maimun) tidak pernah menjadi sebahagian daripada mana-mana panel hakim dalam kes rayuan (Anwar),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial) itu turut memohon maaf kepada Tengku Maimun.
Katanya lagi, dia mengambil tanggungjawab sepenuhnya dan mengakui kenyataannya itu “tidak benar” dan berlaku akibat “kesilapan tanpa niat buruk” di pihaknya.
“Saya dengan ikhlas memohon maaf kepada (Anwar) atas kesilapan fakta ini serta sebarang salah faham atau persepsi negatif yang mungkin timbul terhadapnya akibat kenyataan saya,” katanya.
Waytha turut menyuarakan harapan agar mereka yang merakam atau menyiarkan kenyataannya akan memadam kandungan tersebut bagi mengelakkan penyebaran maklumat yang tidak tepat.
Tengku Maimun berkhidmat sebagai Ketua Hakim Negara dari 2 Mei 2019 hingga 1 Julai tahun ini sebelum bersara wajib.
Waytha dikenali sebagai pengkritik lantang Anwar, menjadikan permohonan maaf secara terbuka ini signifikan dan tidak dijangka.
Pada 12 Ogos lalu, Waytha memulakan tindakan undang-undang untuk mempertikaikan kesahihan status Anwar sebagai anggota Parlimen dan Perdana Menteri.
Dia memohon pengisytiharan mahkamah bahawa pengguguran kelayakan Anwar sebagai anggota Parlimen “tidak pernah dibatalkan” ketika mendapat pengampunan diraja.
Dia juga memohon pengisytiharan mahkamah bahawa kemenangan Anwar di kerusi Parlimen Tambun semasa Pilihan Raya Umum ke-15 pada 19 Nov 2022 dan pelantikannya sebagai Perdana Menteri pada 24 Nov adalah tidak sah.






