Presiden Parti Kemajuan Malaysia (MAP) P Waythamoorthy hari ini mengingatkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim bahawa kenyataannya baru-baru ini yang menuduh dirinya melabel Malaysia sebagai sebuah negara zalim dengan pihak polis membunuh ribuan orang India adalah suatu hasutan.
Dalam satu kenyataan, Waythamoorthy menuduh Anwar berbohong dalam ucapannya pada perhimpunan penjawat awam minggu lalu.
Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial) itu mendakwa Anwar cuba “mengalih perhatian negara daripada cabaran perlembagaan yang kini meragui keabsahan dirinya sebagai perdana menteri.”
“Dengan secara salah dia menuduh saya mempersoalkan kebijaksanaan dan keputusan Yang di-Pertuan Agong mengenai pengampunannya (Anwar), beliau secara tidak bertanggungjawab mengheret institusi diraja ke dalam permainan politiknya.
“Ini bukan sahaja eksploitasi yang melulu terhadap monarki yang sangat dihormati, tetapi serangan berbahaya terhadap kesucian perlembagaan kita, suatu ancaman yang perlu membimbangkan setiap rakyat Malaysia.
“Lebih teruk lagi, dakwaannya yang berniat jahat bahawa saya menuduh Malaysia sebagai sebuah negara zalim dengan polis telah membunuh ribuan orang India adalah satu pembohongan.
“Ini adalah hasutan yang disengajakan, satu kesalahan di bawah Akta Hasutan, dan penghinaan besar kepada pasukan polis kita yang reputasinya kini dicemari,” tambah Waytha.
Minggu lalu, Anwar mengeluarkan amaran keras terhadap kezaliman, sama ada oleh kumpulan majoriti atau minoriti, di tengah-tengah saman yang difailkan oleh Waytha yang mempersoalkan keabsahan statusnya sebagai ahli Parlimen dan perdana menteri.
Bercakap pada perhimpunan penjawat awam di Putrajaya, Anwar dipercayai menyasarkan ucapannya kepada Waytha yang memulakan saman itu pada 12 Ogos.
Waytha memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, memohon perisytiharan mahkamah bahawa pembatalan kelayakan Anwar sebagai ahli Parlimen “tidak pernah ditarik balik” sebagai sebahagian daripada pengampunan terhadapnya.
Dia juga memohon perisytiharan mahkamah bahawa kemenangan Anwar di kerusi Parlimen Tambun semasa pilihan raya umum ke-15 (PRU15) pada 19 November 2022, dan pelantikannya sebagai perdana menteri pada 24 November, adalah batal dan tidak sah.
Anwar memberi amaran terhadap ‘kezaliman minoriti’
“Seorang tokoh yang sekarang sibuk mencabar keputusan Agong dahulu itu pernah menyatakan bahawa Malaysia ini negara zalim, menyebabkan pembunuhan ribuan orang-orang India oleh polis, yang mempertikaikan hak kesemua orang Melayu.
“Itu (dari golongan) minoriti. Jadi kita ingat bila saya bagi amaran ini bukan amaran kepada majoriti sahaja. Ada juga apa yang disebutkan sebagai ‘the tyranny of the minority’.
“Kita tidak akan bertolak ansur (kerana kita mempunyai) toleransi sifar untuk sebarang bentuk perkauman dan ketaksuban agama,” kata Anwar dalam ucapannya.
Dia difahamkan merujuk kepada kenyataan yang dibuat oleh Waytha sekitar tahun 2011, ketika presiden NGO Hindu Rights Action Force (Hindraf) itu membentangkan perihal nasib masyarakat India kepada Parlimen Belanda.
Semakan Malaysiakini bagaimanapun mendapati video itu tidak memaparkan dakwaan mengenai kematian ribuan orang India di tangan polis, dan tidak ada laporan Waythamoorthy membuat dakwaan sedemikian.
“Dengan menyampaikan kata-kata melulu seperti itu di hadapan penjawat awam kanan, Anwar telah melangkaui batas, mengancam perpaduan yang sepatutnya kita, sebagai rakyat Malaysia, perjuangkan. Beliau cuba mempolitikkan jentera kerajaan yang sepatutnya kekal berkecuali dan setia hanya kepada rakyat dan negara.
“Ini adalah tingkah laku seorang yang terdesak yang bergantung kepada kuasa, bukan seorang pemimpin yang layak mendapat kepercayaan rakyat,” kata Waytha lagi.