Persatuan Wartawan Sabah (SJA) hari ini telah membangkitkan kebimbangan mereka terhadap beberapa insiden tidak diingini semasa petugas media membuat liputan kematian pelajar berusia 13 tahun, Zara Qairina Mahathir.
Presiden SJA Mariah Doksil berkata antara isu yang berbangkit ialah gangguan kepada wartawan serta kemunculan pelbagai maklumat salah.
Justeru, kata Mariah, SJA menggesa semua pihak agar menghormati piawaian kewartawanan dan tuntutan undang-undang.
Katanya, setiap laporan yang dibuat perlulah bertanggungjawab dan bukannya untuk disensasikan demi kepentingan dan keadilan awam.
Merujuk kepada kes berkenaan, Mariah berkata semasa sidang media berkaitan inkues Zara Qairina baru-baru ini, ada individu tidak dikenali – dan bukan daripada kalangan wartawan agensi media berdaftar – turut bersama petugas untuk membuat liputan sidang.
“Dua wartawan wanita mengadu kedudukan badan individu terbabit terlalu rapat sehingga menyentuh mereka.
“Justeru, SJA mahu aspek penguatkuasaan yang lebih ketat dibuat untuk melindungi wartawan bertugas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Turut berlaku, kata Mariah, ada individu bukan petugas media sebenar memasuki zon tertentu untuk melakukan penstriman sekali gus mahu menjana keuntungan wang.
“Tindakan sedemikian menjejaskan kerja hakiki wartawan dan boleh menimbulkan kekeliruan kepada orang awam,” katanya lagi.
Dua lagi isu yang dibangkitkan SJA ialah berkaitan maklumat salah serta protokol kawasan larangan.
Menurut Mariah, ada berlaku kesilapan laporan berkenaan prosiding undang-undang tersebar secara meluas oleh sumber yang tidak disahkan.
Sepatutnya, kata Mariah, akses kepada sidang media itu mengutamakan pertubuhan media yang berdaftar bagi memastikan semua laporan yang dikeluarkan tepat.
“Pihak berkuasa juga perlu memperketatkan kawalan akses di kawasan larangan seperti mahkamah dan melarang rakaman jika tidak dibenarkan untuk mengelak agar akses kepada media berdaftar tidak terjejas,” katanya.