Malaysia Oversight

Wartawan, orang ditemu bual masing-masing ada hak

By MkiniBM in October 31, 2025 – Reading time 2 minute
Wartawan, orang ditemu bual masing-masing ada hak


Menteri Perumahan dan Tempatan, Nga Kor Ming, mempertahankan tindakannya terhadap seorang wartawan semasa pelancaran kempen I Lite U dengan menegaskan kedua-dua pihak mempunyai hak dalam interaksi media.

Kata Nga sidang akhbar yang diadakan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 semalam itu bertujuan untuk menarik pelancong asing dan dihadiri oleh wakil media antarabangsa.

Dipetik oleh Oriental Daily News, Nga menekankan bahawa, sama seperti wartawan yang berhak untuk bertanya soalan, orang yang ditemu bual juga berhak untuk menawarkan pembetulan dan ahli parlimen berkenaan menyifatkan ia sebagai amalan yang adil.

Nga menambah reaksi berlebihan akan timbul jika seseorang tidak boleh menerima sedikit pembetulan.

Katanya dalam program tersebut sesi taklimat media yang dikendalikannya serta ucapan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur turut dijalankan dalam bahasa Melayu di sebalik kehadiran wakil media asing.

“Bagaimanapun, masih ada seorang wartawan yang sengaja bertanya mengapa slogan kempen itu tidak dalam bahasa Melayu,” katanya dengan mendakwa ia menunjukkan bahawa wartawan terbabit cuba menimbulkan masalah dan memalukan negara di hadapan media asing.

Nga berkata demikian sebagai menjawab kritikan pelbagai pihak – termasuk kesatuan wartawan – yang tidak setuju dengan cara dia memberikan reaksi selepas ditanya mengenai slogan kempen I Lite U.

Asalnya Nga – yang juga Naib Pengerusi DAP Kebangsaan – menjelaskan langkah itu diambil kerana ia merupakan acara pelancongan, justeru lebih baik ia begitu bagi menarik pelancong antarabangsa.

Nga kemudian memberitahu wartawan Utusan Malaysia berkenaan yang dia akan menghubungi ketua editornya berhubung soalan yang diajukan.

Susulan kejadian itu, Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Semenanjung Malaysia mengeluarkan kenyataan yang menyatakan kebimbangan serius terhadap apa yang digambarkan sebagai percubaan menteri itu untuk menakut-nakutkan seorang wartawan.



Source link