Warisan mendakwa musuh politik mereka membelanjakan jutaan ringgit untuk menggerakkan kempen dalam talian bagi menjejaskan imej partinya terbabit pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal berkata ketika ini perdebatan sebenar mengenai isu yang dialami Sabah sudah bertukar kepada perang persepsi.
Katanya, lebih RM8 juta diperuntukkan untuk kempen media sosial yang menyasarkan Warisan.
Bekas ketua menteri itu mendakwa dana berkenaan disalurkan melalui kerajaan negeri.
Kata Mohd Shafie lagi, pun begitu Warisan dapat mempertahankan diri dengan usaha yang dilakukan ahli akar umbi dan rakyat biasa Sabah untuk mempertahankan parti berkenaan di dalam talian.
“Mereka membelanjakan RM2 juta tahun lepas. Tahun ini, tahukah anda berapa dibelanjakan? RM8.7 juta hanya untuk media sosial.
“Kami tidak mempunyai wang sebanyak itu untuk membayar TikTok atau kempen media.
“Tetapi yang mempertahankan kami adalah rakyat biasa, netizen, yang memberi respons dengan ikhlas,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Warisan di Kota Kinabalu hari ini.
Sejak kebelakangan ini, Mohd Shafie dan Warisan berdepan dengan serangan di alam maya. Pihak terbabit – yang didakwa pesaing Warisan – mendakwa parti berkenaan lebih banyak berpolitik berbanding cuba membantu rakyat Sabah yang berdepan dengan isu banjir dan tanah runtuh baru-baru ini.
Antaranya Umno Sabah menyalahkan Mohd Shafie atas gangguan kuasa berulang kali di pantai timur negeri itu.
Ahli baru Warisan
Ada juga yang membangkitkan isu pembayaran lebih RM300 juta kerajaan negeri kepada sebuah syarikat konsesi air walaupun sebelum itu Warisan – yang menjadi kerajaan negeri pada masa tersebut – membatalkan kontrak kepada mereka.
Langkah itu didakwa pihak berkenaan menjadi punca Sabah terus berdepan dengan masalah air bersih.
Sebelum ini Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor mendakwa masalah air berpunca daripada keputusan kerajaan Warisan menamatkan kontrak sembilan syarikat konsesi yang menguruskan loji rawatan air di seluruh Sabah.
Menurut The Daily Express, Hajiji mendakwa penamatan itu mengakibatkan kerajaan negeri disaman dan perlu membuat sejumlah bayaran sekali gus mengganggu pengurusan bekalan air sedia ada.
Mohd Shafie berkata perbelanjaan yang besar diperuntukkan bagi kempen di media sosial itu menunjukkan bagaimana “perang persepsi” telah mengatasi perbincangan dasar dalam politik Sabah.
Daripada menawarkan penyelesaian kepada isu lama seperti gangguan bekalan air, elektrik dan jalan raya kepada orang ramai, kata Mohd Shafie, pihak lawan menggunakan platform digital untuk mempengaruhi orang ramai.
“Inilah sebabnya mereka menghentam kami di dalam talian. Tetapi saya percaya kali ini rakyat Sabah dapat melihatnya.
“Mereka sendiri merasakannya – sama ada krisis air, bekalan elektrik terputus atau jalan rosak,” katanya.

Sementara itu Mohd Shafie turut mengumumkan penyertaan anak seorang ahli politik veteran Sabah, Edna Majimbun, ke dalam Warisan.
Edna, 47, merupakan anak kepada Eric Majimbun, seorang tokoh lama dalam Parti Bersatu Sabah sebelum menjadi Timbalan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP).
Dikenali dengan aksi bebasnya, Eric sering mendesak untuk mendapatkan autonomi negeri yang lebih besar dan mencabar penguasaan persekutuan ke atas hal ehwal Sabah.
Mengenai kemasukan Edna, Mohd Shafie menyifatkan keputusan tersebut sebagai langkah penting ke arah pembaharuan kepimpinan dan keterangkuman.
“Dia sanggup mengorbankan apa yang dia ada demi Sabah dan rakyat Sabah. Saya mengenali bapanya dengan baik – Eric adalah kawan saya dalam perjuangan politik.
“Keluarga Majimbun dihormati di Sepanggar, dan keputusan Edna menguatkan usaha kami untuk menyatukan rakyat,” tambah Shafie.
Ketika ditanya sama ada Edna akan diletakkan sebagai calon pada PRN Sabah akan datang, Mohd Shafie enggan mengesahkan.
“Masanya akan tiba – bukan untuk diumumkan sekarang. Jika kita mendedahkan nama terlalu awal, parti lain akan cuba mendekati atau membeli calon kita,” katanya.
Mengenai keputusannya, Edna berkata sudah tiba masanya untuk rakyat Sabah bersatu di bawah Warisan.
Ditanya bagaimana bapanya bertindak balas terhadap keputusan tersebut, dia menjawab: “Saya sudah cukup dewasa untuk membuat keputusan sendiri.”






