Seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Warisan mencabar enam pemimpin parti Star dan PBS yang didakwa terlibat dalam skandal perlombongan yang menggemparkan Sabah agar mengambil tindakan undang-undang sekiranya tuduhan yang dikaitkan dengan mereka bersama sembilan lagi ahli politik Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu tidak benar.
“Jika mereka benar-benar menjadi mangsa fitnah dan kandungan yang dilaporkan oleh Malaysiakini itu direka-reka, saya gesa mereka segera membuat laporan polis,” kata Adun Elopura, Calvin Chong (gambar judul).
“Mengambil tindakan undang-undang platform terbaik untuk membuktikan mereka tidak terlibat dalam aktiviti rasuah seperti yang didakwa dan juga untuk membersihkan nama serta reputasi mereka,” katanya pada kenyataan hari ini.
Dia merujuk laporan Malaysiakini pada Jun lalu yang menamakan enam individu terkemuka yang didakwa terlibat, iaitu Presiden Star merangkap Timbalan Ketua Menteri I Jeffrey Kitingan, dua timbalannya Ellron Alfred Angin (juga menteri belia dan sukan Sabah) dan Robert Tawik (yang turut memegang jawatan pembantu menteri kerja raya negeri), Pemangku Presiden PBS merangkap Timbalan Ketua Menteri I Dr Joachim Gunsalam, bekas presiden Maximus Ongkili dan Timbalan Presiden PBS Jahid Jahim yang juga menteri pembangunan luar bandar Sabah.

Satu sumber mendakwa jumlah keseluruhan rasuah yang membabitkan “enam individu” itu dianggarkan hampir RM4 juta.
Sumber itu turut memberikan tangkap layar yang didakwa diambil daripada rakaman video membabitkan para pemimpin tersebut.
Malaysiakini turut ditunjukkan petikan ringkas rakaman itu namun tidak dibenarkan menerbitkannya.
Susulan laporan itu, Kitingan menafikan menerima rasuah sebanyak RM1.78 juta dan menyifatkan tuduhan itu sebagai “serangan bermotif politik yang bertujuan menggugat, memburukkan dan meruntuhkan” kerajaan Sabah.
Dakwaan amat serius
Presiden Star itu turut memberi amaran untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap laporan yang dianggapnya sebagai “tidak bertanggungjawab dan memudaratkan.”
Gunsalam dan timbalannya turut menafikan tuduhan tersebut.
Sementara itu, Chong berkata sehingga kini, keenam-enam individu tersebut belum membuat sebarang laporan polis berhubung dakwaan tersebut.
“Jika tuduhan rasuah terhadap mereka ini palsu atau bersifat fitnah, kenapa tidak seorang pun daripada mereka tampil membuat laporan polis?
“Dakwaan ini amat serius. Jika benar mereka tidak pernah terlibat atau menerima sebarang rasuah, mereka sepatutnya segera melaporkannya kepada pihak polis,” katanya.
“Namun agak pelik, sehingga hari ini, tiada seorang pun daripada enam individu itu yang berani membuat laporan polis,” tambahnya lagi.
Sejak Malaysiakini mendedahkan skandal itu pada November lalu susulan beberapa video dan mesej WhatsApp yang diberikan oleh ahli perniagaan Albert Tei, hanya seorang Adun yang terlibat — Arifin Arif — yang tampil membuat laporan polis berhubung artikel yang mendakwa dia cuba menjadi orang tengah untuk satu penyelesaian.
Namun, kurang dari 24 jam kemudian, Tei tampil membuat laporan balas terhadap Arifin — yang juga seorang menteri negeri dan menantu kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Musa Aman — dengan mendakwa Arifin membuat laporan palsu.
Semalam, peguam kepada Tei telah menulis surat kepada Ketua Polis Negara, Khalid Ismail untuk mendapatkan kemas kini berhubung siasatan terhadap laporan yang dibuat terhadap Arifin pada 6 Februari lalu.