Jabatan Peguam Negara (AGC) menerusi bahagian sivil hari ini menyampaikan penghargaan kepada dua tokoh kehakiman — Hakim Besar Malaya Hasnah Hashim dan Hakim Mahkamah Persekutuan Hanipah Farikullah — yang bersara secara rasmi hari ini.
Ucapan itu disampaikan bersama wakil-wakil peguam lain sebagai ungkapan perpisahan kepada kedua-dua hakim yang menamatkan kerjaya mereka dalam perkhidmatan kehakiman.
Peguam kanan persekutuan Shamsul Bolhassan menyampaikan penghargaan AGC selepas tamat prosiding pagi ini berhubung kes tanah 106.14 hektar Duta Enclave yang melibatkan Semantan Estate (1952) Sdn Bhd dan Pendaftar Tanah Persekutuan.

“Perkhidmatan, kebijaksanaan dan komitmen tinggi Yang Arif terhadap keadilan benar-benar memperkayakan institusi kehakiman serta memberi makna mendalam terhadap undang-undang kita.
“Kami merakamkan penghargaan mendalam dan mendoakan kesihatan serta kebahagiaan berpanjangan buat Yang Arif berdua,” katanya.
Menjawab ucapan itu, Hasnah berkata ringkas:
“Ini sidang terakhir kami, dan keputusan terakhir kami. Tirai terakhir kami.”
Keputusan terakhir
Hasnah mempengerusikan panel hari ini bersama Hanipah dan Hakim Mahkamah Rayuan Che Ruzima Ghazali, yang menolak permohonan syarikat tersebut untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 25 Jun lalu.
Keputusan itu mengekalkan perintah bahawa kerajaan hanya perlu membayar pampasan bagi hartanah tersebut.

Dalam prosiding hari ini, Shamsul mewakili kerajaan, Cyrus Das mewakili syarikat, manakala Malik Imtiaz Sarwar hadir memegang tanggungjawab pemerhati (watching brief) bagi Majlis Peguam.
Malik dalam ucapannya mengenang pengalaman beliau berdepan kedua-dua hakim tersebut sepanjang kerjayanya.
“Saya pernah tampil di hadapan Yang Arif Hasnah di Mahkamah Sesyen pada 1998 — waktu itu mahkamah bersebelahan landasan LRT, dan Yang Arif berikan saya mikrofon.
“Saya masih ingat saya berseloroh, saya rasa macam Janet Jackson sebab guna mikrofon itu.
“Bagi Yang Arif Hanipah pula, saya lebih kerap tampil di Mahkamah Rayuan. Saya ucapkan selamat maju jaya kepada kedua-dua Yang Arif,” katanya.
Hasnah kemudian mengucapkan terima kasih sebelum menangguhkan prosiding terakhirnya.
Kerjaya cemerlang
Sepanjang tempoh perkhidmatannya, Hasnah pernah menjadi pemangku ketua hakim negara dan turut berdepan spekulasi termasuk oleh ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli bahawa dia mungkin dilantik mengisi jawatan hakim tertinggi negara. Namun jawatan ketua hakim negara akhirnya diberikan kepada Hakim Mahkamah Persekutuan Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

Berusia 66 tahun, Hasnah berasal dari Kuantan, Pahang, berkelulusan LLB (Kepujian) Universiti Malaya (1983) dan memulakan kerjaya sebagai pegawai undang-undang di AGC.
Dia dilantik sebagai Pendaftar Mahkamah Persekutuan pada 2009, sebelum dinaikkan sebagai Pesuruhjaya Kehakiman pada 2010, Hakim Mahkamah Tinggi (2012), Hakim Mahkamah Rayuan (2016), dan akhirnya ke Mahkamah Persekutuan (2019).
Hasnah dilantik sebagai Hakim Besar Malaya ke-14 pada 12 Nov tahun lalu, menjadi wanita ketiga menyandang jawatan itu selepas Siti Norma Yaakob dan Zaharah Ibrahim.
Antara kes penting yang pernah dipengerusikannya termasuk keputusan menolak rayuan Peguam Negara terhadap permohonan Najib Razak untuk menjalani tahanan rumah pada 13 Ogos lalu.
Hanipah, 64 tahun, berasal dari Besut, Terengganu, dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan pada 27 April 2018.
Antara kes penting yang dikendalikannya termasuk menolak rayuan Rosmah Mansor pada 2023 berhubung pelantikan mendiang Gopal Sri Ram sebagai ketua pendakwa dalam kes rasuah projek solar hibrid.






