Malaysia Oversight

Warga Indonesia ditahan, disyaki terlibat sindiket ‘Fly’

By MkiniBM in August 3, 2025 – Reading time 1 minute
Warga Indonesia ditahan, disyaki terlibat sindiket ‘Fly’


Seorang lelaki warga Indonesia berusia 33 tahun ditahan selepas disyaki terlibat dalam sindiket ‘Fly’, iaitu kegiatan memalsukan rekod pergerakan imigresen.

Dalam kenyataan hari ini, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) memaklumkan suspek ditahan sekitar jam 6.30 petang semalam di Balai Berlepas, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2, selepas pemeriksaan mendapati cap keselamatan pada pasportnya mencurigakan.

“Hasil siasatan awal mendapati lelaki tersebut memasuki Malaysia melalui pintu masuk Pasir Gudang, Johor pada 18 Julai 2022 dan direkodkan keluar dari negara ini melalui KLIA pada 13 Ogos 2022.

“Namun begitu, terdapat beberapa cap keselamatan pergerakan keluar dan masuk atas nama subjek bermula tahun 2022 hingga 2025 yang menimbulkan keraguan.

“Pemeriksaan lanjut melalui Sistem MyIMMs menunjukkan tiada sebarang rekod rasmi pergerakan keluar atau masuk bagi subjek sepanjang tempoh tersebut,” kata agensi itu dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, suspek mengaku tidak pernah meninggalkan Malaysia sejak tahun 2022 dan membayar RM4,000 kepada sindiket untuk mendapatkan cap imigresen tersebut.

Sindiket ‘Fly’ merujuk kepada kegiatan pemalsuan status imigresen, termasuk pembersihan rekod individu yang melebihi tempoh visa atau disenarai hitam.

AKPS turut memaklumkan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti dalang di sebalik sindiket terbabit, dan akan mengambil tindakan sewajarnya termasuk tatatertib dan pendakwaan jenayah berkaitan pemalsuan dokumen perjalanan serta pelanggaran undang-undang imigresen.



Source link