Seorang warga emas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuantan, Pahang, hari ini atas dakwaan merogol dan melakukan amang seksual terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh,April lalu.
Roslan Sujak yang berusia 64 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas dua pertuduhan berkenaan dibacakan di hadapan Hakim Azman Mustapha.
Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa merogol mangsa berusia tujuh tahun di sebuah rumah di daerah Kuantan pada April lalu.
Bagi tuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan.
Untuk pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa sama di tepi jalan dalam daerah Kuantan, juga dalam bulan April lalu.
Sabit kesalahan bagi kedua-dua pertuduhan itu, dia boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan sebatan.
Berikutan pengakuan tidak bersalah dibuat tertuduh, mahkamah menetapkan 15 Okt ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan lantikan peguam.
Mahkamah juga tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh sementara menunggu tarikh sebutan semula kes.
Pada prosiding hari ini, pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nurul Izzati Wan Mohd Zahari manakala tertuduh tidak diwakili peguam.