Seorang wanita warga China didakwa bertindak agresif dan mencederakan pegawai kaunter imigresen ketika pemeriksaan pelepasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mengakibatkan penahanannya untuk tindakan undang-undang.
Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) memaklumkan kejadian berlaku sekitar jam 7.40 malam semalam di Balai Berlepas KLIA Terminal 1, membabitkan empat warga China — dua dewasa dan dua kanak-kanak — yang hadir untuk pemeriksaan pelepasan imigresen.
“Pegawai kaunter mendapati kesemua mereka tidak mempunyai rekod pergerakan masuk dan telah merujuk kepada Penyelia Pasukan untuk semakan lanjut.
“Bagaimanapun, wanita dewasa tersebut tidak berpuas hati apabila diminta memberi laluan kepada penumpang lain sementara semakan dibuat. Suspek kemudiannya memaki-hamun pegawai dengan perkataan kesat, sebelum menarik tudung pegawai dan menolak kepalanya dengan kuat ke arah tiang di hadapan kaunter.
“Pergelutan kecil berlaku dan suspek masih enggan bertenang walaupun diarahkan,” kata agensi itu pada satu kenyataan.
Menurut AKPS, Pasukan Keselamatan Penerbangan (AVSEC) segera dipanggil untuk mengawal keadaan.
Akibat serangan tersebut, AKPS berkata pegawai terbabit mengalami bengkak di sekitar mata kiri, sakit kepala di bahagian kanan, serta lenguh badan, sebelum dirujuk ke Hospital Cyberjaya untuk rawatan dan mendapatkan laporan perubatan.
“Laporan polis telah dibuat, dan suspek kini dalam tahanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan.
“Wanita warganegara China tersebut disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan (menghalang penjawat awam), Seksyen 332 (mencederakan penjawat awam), dan Seksyen 353 (menggunakan kekerasan jenayah terhadap penjawat awam),” kata agensi itu lagi.