Seorang lelaki warga Britain mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di Petaling Jaya hari ini atas pertuduhan mencabul kehormatan seorang lelaki di sebuah bilik hotel, awal bulan ini.
Adekoya Oluwatoyosi Osideinde, 31, dari Bath, United Kingdom (UK) didakwa melakukan perbuatan itu terhadap lelaki warga Indonesia berusia 47 tahun di sebuah bilik hotel di Lorong Utara, di Petaling Jaya pada 8.34 pagi, 2 Ogos lepas.
Pertuduhan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Lim Leong Hui tidak menawarkan sebarang jaminan, namun peguam R Sivaraj yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya menanggung ibu berusia 70 tahun di UK.
“Anak guam merupakan pelancong di Malaysia dan visa pelancongnya masih sah hingga September ini. Dia juga bersedia menerima sebarang syarat tambahan yang akan ditetapkan oleh mahkamah,” kata Sivaraj.
Majistret Shahril Anuar Ahmad Mustapha membenarkan tertuduh yang juga seorang perunding kewangan bebas diikat jamin RM6,000 dengan dua penjamin warga Malaysia dan menetapkan 2 Okt ini untuk sebutan semula kes.
– Bernama