Malaysia Oversight

Warga Bangladesh ditahan cuba berlepas di Klia dengan PLKS palsu

By MkiniBM in January 19, 2026 – Reading time 1 minute
Warga Bangladesh ditahan cuba berlepas di Klia dengan PLKS palsu


Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) menahan seorang lelaki warga Bangladesh yang disyaki menggunakan Lawatan Kerja Sementara (PLKS) palsu ketika cuba berlepas ke Dhaka di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2, semalam.

AKPS dalam kenyataan hari ini memaklumkan lelaki berumur 39 tahun itu ditahan sekitar 4.40 petang di Balai Pelepasan Antarabangsa KLIA Terminal 2 semasa pemeriksaan penumpang penerbangan AirAsia yang dijadual berlepas pada 7.25 malam.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati individu berkenaan, pemegang pasport Bangladesh, memiliki Lawatan Kerja Sementara (ePass) yang dikepilkan di dalam pasportnya. Namun, semakan lanjut mendapati tersebut disyaki tidak sah dan palsu,” menurut kenyataan itu.

Susulan itu, AKPS memaklumkan individu tersebut telah ditahan dan ditempatkan di Depot Imigresen KLIA Terminal 2 sebelum diserahkan kepada Bahagian Penguatkuasaan AKPS KLIA untuk siasatan dan tindakan lanjut mengikut undang-undang yang berkuat kuasa.

AKPS menegaskan komitmen berterusan dalam memperketat kawalan keselamatan sempadan negara serta tidak akan berkompromi terhadap sebarang cubaan penyalahgunaan dokumen perjalanan atau pas imigresen.

– Bernama



Source link