Malaysia Oversight

Wanita suap anjing guna sudu awam cetus perdebatan

By MkiniBM in September 18, 2025 – Reading time 2 minute
Wanita suap anjing guna sudu awam cetus perdebatan


Semakin banyak kafe dan restoran di Malaysia memperkenalkan konsep “mesra haiwan peliharaan” bagi menarik pelanggan yang ingin menikmati hidangan sambil membawa haiwan peliharaan kesayangan mereka. 

Konsep ini bukan sahaja memberi ruang kepada haiwan, malah membina komuniti pencinta haiwan yang boleh berkongsi masa bersama dalam suasana santai.

Konsep ini pada umumnya disambut baik, namun ada segelintir pihak yang dilihat tidak bertanggungjawab sehingga mencemarkan imej positifnya.

Baru-baru ini, seorang pengguna Facebook yang hanya ingin dikenali sebagai Alice menceritakan pengalaman mengejutkan di sebuah medan selera mesra haiwan peliharaan di Lembah Klang. 

Menurutnya, ketika sedang mencuci tangan, dia terdengar rungutan seorang wanita mengenai tindakan seorang pelanggan yang memberi anjing peliharaannya minum jus buah menggunakan sudu awam.

“Tak ada otak, guna sudu orang makan untuk bagi anjing minum,” Alice mendengar wanita itu berkata.

Apabila dia menoleh, Alice yang merupakan seorang suri rumah menyaksikan sendiri perbuatan itu dan mengakui terkejut dengan sikap pemilik haiwan berkenaan. 

Lebih teruk, katanya, pemilik haiwan itu tidak membawa sudu sendiri, sebaliknya menggunakan peralatan yang disediakan untuk pelanggan lain.

“Ini kali pertama saya nampak haiwan diberi makan guna peralatan awam. Perkara macam ini tak patut berlaku,” katanya di Facebook.

Sebagai pencinta anjing sendiri, dia menegaskan perbuatan itu perlu ditegur kerana boleh memberikan imej buruk kepada komuniti pencinta haiwan.

“Saya juga sayangkan anjing, tapi saya tidak akan buat perkara sebegini. Ia hanya menambah persepsi negatif terhadap haiwan kesayangan kita,” katanya.

‘Ini soal kebersihan’

Perkongsian itu mencetuskan perdebatan dalam kalangan pengguna media sosial. Rata-rata mengecam tindakan terbabit yang dianggap melanggar etika serta menjejaskan tahap kebersihan di premis makanan.

“Ini bukan soal sayang haiwan atau tidak. Tempat awam perlu dijaga kebersihannya. Sudu itu kegunaan orang ramai, bukan untuk haiwan,” tulis seorang individu.

Selain isu etika, kebimbangan mengenai risiko kesihatan turut dibangkitkan, termasuk kemungkinan penyebaran bakteria melalui air liur haiwan atau bulu yang berterbangan. 

Hal ini, kata netizen lain, boleh mendatangkan masalah kepada pelanggan yang mempunyai alahan.

“Sebab itu ada garis panduan jelas tentang kehadiran haiwan di premis makanan,” tulis seorang lagi.

Insiden itu menimbulkan persoalan tentang konsep mesra haiwan peliharaan di Malaysia. Walaupun ia satu usaha yang positif untuk komuniti pencinta haiwan, konsep itu hanya boleh bertahan jika pemilik haiwan peliharaan bertanggungjawab menjaga kebersihan dan menghormati pelanggan lain.

Ramai yang menyifatkan insiden itu sebagai peringatan bahawa soal menjaga kebersihan tempat awam adalah tanggungjawab semua — sama ada pencinta haiwan ataupun tidak.



Source link