Seorang wanita mengalami kerugian RM103,000 selepas menjadi mangsa penipuan ‘bomoh’ yang dikenali melalui media sosial dan bersetuju untuk membantu masalah kesihatannya.
Mangsa berusia 51 tahun itu berasal dari Terengganu dan mengenali suspek pada 1 Sept melalui media sosial Omi.
Menurut polis, suspek mendakwa mangsa terkena buatan orang dan menawarkan bantuan untuk menjalankan rawatan secara mistik.
Ketua Polis Daerah Rompin, Supt Sharif Shai Sharif Mondoi, berkata suspek yang menggunakan nama ‘alicaf_85’ pada aplikasi Telegram kemudiannya meyakinkan mangsa untuk menjalankan ritual rawatan menggunakan telur dan garam.
“Mangsa yang seperti dipukau menyerahkan barangan kemas kepada suspek untuk tujuan rawatan itu.
“Pada 3 Sept lalu, mangsa menjual empat utas gelang emas bernilai RM71,350 di sebuah kedai emas di sekitar bandar Kemaman.
“Mangsa kemudiannya meletakkan wang itu bersama seutas lagi rantai emas seberat 80 gram di kawasan Felcra dekat Bukit Serok, Rompin.
“Suspek memberi jaminan mangsa akan memperoleh semula wang itu dalam tempoh antara tiga hari hingga dua minggu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sharif Shai memberitahu, suspek turut mengarahkan mangsa melakukan perbuatan tidak senonoh, termasuk merakam video mangsa melakukan hubungan seks dan berbogel untuk tujuan ‘rawatan’ lanjut.
“Mangsa yang percaya dengan arahan ‘bomoh’ itu menurut arahan tersebut dan memberikan rakaman seperti diminta suspek.
“Mangsa menyedari ditipu selepas gagal mendapat semula wang tunai dan barangan kemas ketika kembali ke lokasi dia meninggalkan barangan itu semalam,” jelasnya.
Mangsa, kata Sharif Shai, membuat laporan polis semalam di balai polis berdekatan lokasi kejadian.
“Siasatan berkaitan kes ini dilakukan dan polis sedang mengesan suspek yang terbabit dalam jenayah penipuan ini,” katanya sambil menasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati bila berurusan menerusi media sosial.