Malaysia Oversight

Wanita, rakan lelaki mengaku tak bersalah cuba bunuh suami

By MkiniBM in January 2, 2026 – Reading time 1 minute
malaysiakini logo


Seorang suri rumah dan penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas pertuduhan cubaan membunuh pada Disember lepas.

N Egavalli, 46, dan rakan lelakinya R Kamala Sarna, 39, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan serentak di hadapan hakim Mohd Zamir Suhaimee.

Mereka didakwa bersama-sama melakukan cubaan membunuh terhadap G Kumaresan, 48, (suami tertuduh wanita), dengan cara menutup muka mangsa menggunakan sebiji bantal yang boleh menyebabkan kematian di Taman Ehsan, Johor Bahru, kira-kira 9.30 malam, 22 Dis lepas.

Pertuduhan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya R Nevina, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, K Bharathi.

Mahkamah membenarkan jaminan RM20,000 setiap seorang dengan syarat dua penjamin warganegara bagi setiap tertuduh, menyerahkan pasport kepada mahkamah, melapor diri di balai polis berdekatan dan tidak dibenarkan mengganggu mangsa.

Mahkamah menetapkan 3 Feb depan untuk sebutan semula kes. 

-Bernama



Source link