Polis hari ini mengesahkan menerima laporan berhubung kehilangan seorang wanita yang dijadual bertemu dengan SPRM untuk membantu siasatan.
Ketua Polis Kuala Lumpur Rusdi Mohd Isa berkata dia telah menghilangkan diri sekitar jam 3.02 petang pada 9 April, menjelang perjumpaan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya.
Polis berkata kes disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.
“Laporan polis juga telah dibuat oleh peguam mangsa di Seri Kembangan, Selangor berhubung kehilangan mangsa.
“Perbualan beberapa saksi termasuk pegawai SPRM dan peguam mangsa telah dirakam bagi membantu siasatan ini,” kata Rusdi.
Menurut Rusdi, wanita itu sebelum ini telah beberapa kali bertemu dengan SPRM untuk memberikan kenyataan.
Bagaimanapun, dia tidak menjelaskan lebih lanjut mengenai siasatan berkenaan.
Laporan berasingan daripada Free Malaysia Today mengenal pasti mangsa berusia 42 tahun bernama Pamela Ling.
Laporan itu memetik adiknya, Simon sebagai menyatakan bahawa dia didakwa diculik ketika dalam perjalanan ke SPRM.
Simon berkata, keluarga mereka difahamkan bahawa perjalanan e-hailing Pamela ke Putrajaya telah dipintas oleh tiga kenderaan sebelum diarahkan memasuki salah satu kenderaan lain.
“Pamela tidak dilihat atau didengar sejak petang itu. Kini sudah lebih 20 hari sejak kehilangannya,” katanya.