Seorang wanita mendakwa diganggu secara seksual di tandas sebuah stesen minyak berhampiran tol di Shah Alam ketika baru pulang dari Vietnam atas urusan kerja.
Mangsa Nadhrahtul Aisyah Che Nazir, 33, dari Puncak Alam berkata kejadian berlaku di tandas stesen minyak berhampiran tol ketika dia berhenti singgah bersama ibunya.
Semasa menunggu ibunya di tandas wanita dan membasuh tangan di bahagian sinki, Nadhrahtul secara tidak sengaja terlihat ke arah tandas lelaki yang pintunya terbuka.
Katanya, dia ternampak seorang lelaki melakukan perbuatan tidak senonoh dengan mendedahkan kemaluan ke arahnya.
Kunci pintu tandas
“Saya sangka saya tersalah lihat, saya sorok sekejap belakang dinding dan tengok sekali lagi. Dia masih di situ,” katanya kepada Malaysiakini.
Bimbang tindak balasnya mencetuskan bahaya, Nadhrahtul tidak menjerit dan segera memaklumkan seorang wanita lain di dalam tandas itu sebelum keluar untuk mencari bantuan.
“Saya suruh dia kunci pintu tandas untuk mengelakkan “flasher” itu memasuki tandas wanita sementara saya pergi luar untuk mendapatkan bantuan,” jelasnya.
Menurut Nadhrahtul lagi, dia memberitahu kejadian kepada seorang lelaki yang kebetulan memasuki kawasan tandas namun dia diminta berurusan dengan kaunter pekerja stesen.
Beberapa ketika kemudian, Nadhrahtul berkata dia melihat suspek menaiki motosikal dan beredar.
Katanya, suspek dianggarkan berusia lingkungan 40an namun tidak sempat merakam nombor plat motosikal itu.
“Semuanya berlaku sangat cepat. Saya tak sempat rakam nombor plat. Cuma ingat dia pakai jaket atau baju merah pudar,” katanya.
Nadhrahtul kemudian memaklumkan kejadian kepada pekerja stesen.
Pun begitu, wanita itu berkata dia tidak membuat laporan polis kerana ketiadaan bukti rakaman atau gambar.
“Bila benda ni jadi, saya faham kenapa ramai wanita rasa tak berdaya bila diganggu.
“Sebab semua berlaku sekejap dan kita terkejut. Itu sebab wanita sering jadi target,” katanya.

Dia menyuarakan kebimbangan terhadap wanita lain, khususnya yang bersendirian.
“Kalau masa tu saya seorang, saya mungkin tak berani keluar. Bayangkan kalau dia masuk tandas perempuan — entah apa jadi.”
Nadhrahtul menasihatkan orang ramai supaya berwaspada di tandas awam, terutama pada waktu malam, serta mempertimbangkan membawa semburan keselamatan (pepper spray).
Selepas kisahnya dimuat naik di Threads, beberapa pengguna media sosial itu turut berkongsi pengalaman pernah diganggu “flasher” di tempat awam—termasuk di Seksyen 7, Shah Alam—malah ada yang mendakwa pernah dikejar suspek.
Nadhrahtul berharap pihak berkuasa memberi perhatian serius isu gangguan seksual di tandas awam.






