IPOH: Seorang wanita yang menghadapi pertuduhan melakukan kekerasan jenayah ke atas Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada 31 Ogos lalu, diarahkan untuk menjalani pemeriksaan psikitri.
Majistret Mohd. Harith Mohd. Mazlan mengeluarkan arahan tersebut selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Nasrul Hadi Abdul Ghani ke atas tertuduh, Nurhaswani Afni Mohamad Zorki, 41.
Nasrul Hadi mengemukakan permohonan tersebut mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah agar tertuduh dihantar untuk menjalani pemeriksaan mental.
“Pada peringkat ini, pihak pendakwaan mohon agar tiada pengakuan diambil kerana berdasarkan pemeriksaan awal, tertuduh didapati mempunyai penyakit skizofrenia.
“Sehubungan itu, satu perintah di bawah Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah dipohon bagi mendapatkan laporan perubatan lanjut berkaitan diagnosis penyakit itu selain status kewarasan tertuduh sama ada pengakuan boleh diambil daripada wanita terbabit dan dia boleh dibicarakan,” katanya.
Terdahulu, Nurhaswani Afni yang diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), M. Saravanan didakwa telah melakukan kekerasan jenayah terhadap Sultan Nazrin di hadapan bangunan Dewan Bandaran Ipoh, Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab di dalam daerah Kinta pada pukul 8.20 pagi, 31 Ogos 2025.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 352 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh yang boleh sampai tiga bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya.
Tertuduh mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan namun tiada pengakuan direkodkan daripada wanita itu.
Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh menjalani pemeriksaan kesihatan mental di Hospital Bahagia Ulu Kinta (HBUK), Tanjung Rambutan.
Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 8 Oktober depan.
Sambutan Hari Kebangsaan 2025 Peringkat Negeri Perak yang diadakan di Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab minggu lalu dikejutkan dengan kejadian seorang wanita menceroboh naik ke pentas utama dan cuba mendekati Sultan Nazrin.
Wanita itu pada awalnya dilihat masuk melalui bahagian tepi pentas utama dan berdiri di barisan belakang sebelum dilihat berlari ke arah Sultan Nazrin yang sedang berdiri memberi tabik hormat ketika lagu kebesaran negeri Perak sedang dimainkan.
Kejadian yang berlaku pada pukul 8.20 pagi itu bagaimanapun berjaya dihentikan pasukan keselamatan yang bertindak pantas menahan suspek. – UTUSAN