Malaysia Oversight

Wanita bukan sekadar pelengkap kuota

By MkiniBM in July 16, 2025 – Reading time 4 minute
malaysiakini logo


ULASAN | Dalam landskap politik dan kepimpinan semasa, wacana mengenai peranan wanita sering kali tertumpu kepada angka dan peratusan – berapa ramai wanita dalam parlimen, dalam kabinet, atau dalam syarikat tersenarai awam.

Namun, di sebalik statistik yang menggembirakan atau mengecewakan itu, persoalan yang lebih mendasar perlu diajukan ialah: apakah wanita benar-benar diberi ruang untuk memimpin, atau hanya diangkat sebagai simbol keterangkuman?

Sejarah membuktikan bahawa wanita telah memainkan peranan pemimpin sejak zaman awal peradaban. Tokoh seperti Ratu Balqis, Shajar al-Durr, hingga tokoh kontemporari – seperti Jacinda Ardern dan Angela Merkel – menunjukkan bahawa kemampuan memimpin bukanlah isu jantina, tetapi isu kompetensi dan prinsip.

Di Malaysia sendiri, tokoh seperti Rafidah Aziz dan Dr Wan Azizah Wan Ismail telah membuka jalan buat generasi muda wanita untuk menjadi pemimpin.

Kini, kita menyaksikan kemunculan pemimpin wanita Malaysia yang berwibawa dan komited memperjuangkan maruah wanita serta memperkasa masyarakat. Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, misalnya giat memperjuangkan akses pendidikan inklusif dan selamat buat pelajar perempuan serta membina ekosistem sekolah yang bebas gangguan seksual.

pula terus tekal memperjuangkan dasar pembangunan insan dan ekonomi mesra wanita.

Selain Fuziah Salleh berpengalaman memperjuangkan hak pengguna dan pemberdayaan wanita luar bandar, manakala Dr Zaliha Mustafa yang melakar sejarah sebagai wanita pertama menjadi menteri kesihatan menunjukkan komitmen tinggi memperkukuh dasar kesihatan awam yang inklusif dan responsif terhadap keperluan wanita.

Kita juga ada Hannah Yeoh yang tidak kurang hebatnya perjuangan mengangkat pemimpin wanita. Dia kini menerajui Kementerian Belia dan Sukan, justeru sudah pasti ahli sukan wanita mendapat perhatian yang sewajarnya.

Sedia terima atau tidak

Soalan sekarang ialah, apakah wanita cukup bersedia dari segi fizikal dan mental untuk memimpin? Inilah persoalan yang sering dibangkitkan dalam masyarakat .

Sebenarnya, soalan ini perlu dilihat semula secara adil dan rasional. Dalam banyak keadaan, wanita terbukti lebih tahan tekanan, lebih teliti membuat keputusan, dan mempunyai kecerdasan emosi (emotional intelligence) yang tinggi.

Ia menjadi aset penting dalam kepimpinan moden. Malah, dalam konteks krisis – seperti semasa pandemik Covid-19 dulu – negara yang dipimpin oleh wanita seperti New Zealand dan Taiwan menunjukkan kecekapan luar biasa dalam pengurusan bencana.

Mereka mengambil pendekatan kepemimpinan yang berasaskan empati, komunikasi terbuka dan bertindak pantas.

Dari segi keilmuan dan profesionalisme, statistik menunjukkan bahawa wanita Malaysia melebihi lelaki dalam penyertaan pendidikan tinggi.

Laporan Kementerian Pengajian Tinggi menunjukkan peratusan kemasukan wanita ke universiti awam mencecah lebih 60 peratus sejak beberapa tahun lalu.

4229f31f7905271ad2d08c326c731ef8

Wanita hari ini bukan sahaja profesional dalam bidang tertentu seperti undang-undang, perubatan, kejuruteraan dan ekonomi, malah ramai yang menduduki posisi strategik dalam sektor awam atau swasta.

Mereka mengurus pasukan, mentadbir belanjawan, menggubal dasar dan menjadi pembuat keputusan pada tahap tertinggi.

Maka, persoalan sebenar bukan lagi sama ada wanita boleh memimpin atau tidak, tetapi sama ada masyarakat sedia menerima kepemimpinan wanita secara setara atau sebaliknya.

Ketidaksediaan struktur sosial dan budaya untuk memberi laluan kepada wanita merupakan penghalang utama.

Dalam banyak kes, wanita terpaksa bekerja “dua kali lebih keras” untuk membuktikan kemampuan mereka berbanding lelaki walaupun dengan kelayakan dan pengalaman yang setara.

Fenomena siling kaca (glass ceiling) iaitu halangan tidak nyata yang menyekat wanita maju ke peringkat tertinggi dalam organisasi masih wujud dalam pelbagai bentuk di Malaysia.

Bina ekosistem, dasar kukuh

Lebih membimbangkan, masih terdapat stereotaip yang mengaitkan kepemimpinan wanita dengan kelemahan, emosi berlebihan atau ketidaktegasan.

Persepsi ini bukan sahaja tidak berasas, malah bercanggah dengan dapatan saintifik dan pengalaman global.

Dalam sesetengah kes, wanita yang tegas pula dilabel sebagai keras kepala atau sukar dikawal. Ia merupakan suatu bentuk dwitandard yang jarang dikenakan kepada lelaki.

Oleh itu, perubahan naratif dan pendidikan kesedaran gender adalah penting agar masyarakat dapat menilai kepimpinan seseorang berdasarkan merit, bukan jantina.

Kajian menunjukkan bahawa organisasi yang mempunyai representasi wanita dalam posisi kepimpinan mencatat prestasi lebih baik dari segi pengurusan risiko, etika kerja dan empati sosial (McKinsey & Company, 2020).

Gaya kepimpinan wanita yang cenderung lebih inklusif, kolaboratif dan berorientasikan kesejahteraan jangka panjang amat diperlukan dalam dunia yang semakin kompleks dan mencabar ini.

Oleh itu, sudah tiba masanya kita melangkaui naratif “kuota” semata-mata.

b0604e71c2c76e58ffea999662584609

Kita perlu membina ekosistem yang menyokong penyertaan dan pertumbuhan wanita dalam kepimpinan secara tulen iaitu melalui dasar yang mesra keluarga, pendidikan kepimpinan yang progresif, serta perubahan budaya organisasi yang tidak meminggirkan suara wanita.

Wanita tidak seharusnya diberi peluang kerana mereka wanita. Wanita harus diberi kesempatan kerana mereka memang layak, berdaya saing dan berketerampilan.

Wanita bukan sekadar pelengkap kepada kerangka statistik. Mereka adalah pemimpin berwibawa, pembuat dasar yang berwawasan, dan pembina negara yang berintegriti.

Melihat mereka sebagai ‘pelengkap’ adalah satu ketidakadilan intelektual yang mesti segera diperbetulkan. Malaysia yang maju dan sejahtera hanya akan dapat dilahirkan apabila potensi wanita diangkat sepenuhnya sebagai rakan kongsi dalam kepimpinan negara dan masyarakat.


YONG BAZILAH ABU BAKAR ialah Pengetua Sekolah Wanita-SWAN dan sedang menyiapkan PhD dalam bidang kepemimpinan wanita dan psikologi.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.



Source link