LUNDU: Wanita berusia antara 35 hingga 65 tahun yang masih aktif secara seksual disarankan menjalani saringan awal kanser serviks untuk mengurangkan kadar jangkitan dan kematian pramatang.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri menekankan kepentingan pengesanan awal kerana penyakit ini masih boleh dirawat dan disembuhkan jika dikesan pada peringkat awal.
Kementeriannya terus mempergiat usaha memperkukuh kesedaran kesihatan wanita khususnya berkaitan kanser serviks melalui program saringan dan kempen pendidikan di seluruh negara.
“M Kami sentiasa melaksanakan program berkaitan secara berterusan sambil memohon penambahan bajet bagi memperluas capaian ke luar bandar melalui inisiatif bas pemeriksaan bergerak.
Inisiatif bas pemeriksaan bergerak membolehkan penduduk menjalani pemeriksaan kendiri mirip ujian COVID-19 secara DIY.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Jelajah MADANI Rakyat sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia di Pusat Latihan Kenegaraan Sempadi.
Sejak kementerian melaksanakan program saringan kendiri virus papilloma manusia (HPV) pada akhir 2023, negeri Sarawak mencatat kadar penyertaan tertinggi setakat ini.
Sambutan di beberapa negeri lain masih rendah walaupun mempunyai akses lebih baik terutamanya di kawasan bandar.
“Ini menunjukkan masih ada kurang kesedaran maka penting untuk kita menggalakkan penggunaan kemudahan yang telah disediakan.
Berdasarkan statistik kementerian dari 2019 hingga 2024, seramai 45,313 wanita di Sarawak telah menjalani ujian saringan HPV.
Sebanyak 162,581 wanita di seluruh negara telah menjalani saringan berkaitan kanser serviks dalam tempoh yang sama. – Bernama