Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal memohon agar prosiding Lembaga Disiplin parti itu ditangguhkan sementara waktu.
Wan Ahmad Fayhsal mendakwa ini kerana wujud konflik kepentingan dalam kalangan panel yang mengadili kesnya.
Menurut Wan Fayhsal, komposisi ahli lembaga tersebut mempunyai hubungan dengan kepimpinan tertinggi parti.
“Saya telah hadir dan berdepan dengan Lembaga Disiplin yang dipengerusikan oleh Mohammed Radzi Abdul Manan, yang merupakan bapa mentua kepada Datuk Seri Faizal Azumu dan juga bapa kepada salah seorang ahli Majlis Pimpinan Tertinggi.
“Saya juga telah nyatakan jawapan saya, pendirian saya dan saya bersedia untuk dibicarakan dengan adil dan saksama oleh Lembaga Disiplin terhadap pertuduhan yang diberikan kepada saya.
“Cuma saya minta komposisi keanggotaan Lembaga Disiplin itu diganti kerana pada hemat saya ada beberapa anggota di dalamnya merupakan orang yang ada kepentingan yang bercanggah dengan kepentingan tertinggi parti,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di perkarangan ibu pejabat Bersatu di Petaling Jaya, hari ini.
Tambahnya, dia berharap agar barisan panel lembaga itu diganti demi memastikan proses perbicaraan berjalan secara adil dan telus.
“Saya tak lari. Saya cuma mohon prosiding ini ditangguhkan supaya keanggotaan (Lembaga Disiplin) disusun semula. Saya bersedia untuk membela diri, tapi biarlah dilakukan oleh panel yang tidak mempunyai kecenderungan berat sebelah,” katanya.
Wan Fayhsal turut menegaskan bahawa kes melibatkan dirinya berbeza dengan kes Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan.
Katanya, ia langsung tidak berkait dengan isu akuan bersumpah (SD) melibatkan Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin.
“Kes saya berkait dengan isu dalaman parti melibatkan pemilihan sebelum ini. Saya tidak pernah membawa isu ini ke luar parti,” katanya.
Menurutnya, setakat ini pihak lembaga bersetuju untuk mempertimbangkan permintaannya, termasuk kemungkinan menukar beberapa ahli panel bagi menyakinkan akar umbi.
Terdahulu, enam pemimpin Bersatu termasuk Wan Fayhsal dipanggil mengadap Lembaga Disiplin parti itu.

Selain Wan Fayhsal, antara pemimpin lain yang dipanggil ialah Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan, Ketua Bahagian Ipoh Timor, Muhammad Fadhli Ismail, Ketua Bahagian Ampang, Mohd Isa Saidi serta Ketua Bahagian Pendang, Abdul Razak Khamis.
Bagaimanapun, Abdul Razak tidak dapat hadir kerana berada di luar negara.
Pemimpin yang dipanggil akan disiasat atas beberapa dakwaan termasuk isu pengumpulan Surat Akuan Bersumpah (SD) untuk menjatuhkan presidennya, Muhyiddin Yassin.
Mereka didakwa terbabit mengumpul SD dalam kalangan ketua bahagian Bersatu di seluruh negara bagi mengusulkan perbincangan mengenai langkah transisi kepemimpinan parti kepada Timbalan Presiden, Hamzah Zainudin.
Selain itu, prosiding Lembaga Disiplin turut menyiasat dakwaan Wan Saiful yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu terhadap Setiausaha Agung parti itu, Azmin Ali.
Pada 25 Sept lalu, Lembaga Disiplin Bersatu terpaksa menangguhkan prosiding bagi memanggil beberapa pemimpin parti, berhubung isu SD bagi mendesak Muhyiddin berundur kerana tidak cukup korum berikutan ketidakhadiran seorang ahli panelnya.






