PARLIMEN | Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) mengulang amarannya berhubung dakwaan “rasa tidak gembira” kerajaan Jepun berhubung peluasan dasar “Pandang ke Timur” Malaysia yang kini turut merangkumi China.
Mencelah ucapan penggulungan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Abdul Aziz, Wan Fayhsal berkata dia turut membangkitkan kebimbangan serupa ketika ucapan penggulungan Menteri Luar Mohamad Hasan hari ini.
“…Ia akan menjadi tindakan ‘bunuh diri’ untuk hubungan kita dengan Jepun.
“Saya minta jangan sokong dasar ‘Kerjasama dengan Timur’ […] Mereka tidak akan beritahu anda, tapi saya akan beritahu, mereka tidak suka,” dakwa pengerusi biro antarabangsa Bersatu itu.
Sebagai respons, Zafrul berkata dia menyokong dasar Pandang ke Timur yang terdahulu, dan juga pendirian semasa untuk turut memasukkan China sebagai rakan Malaysia dalam pelbagai sektor.
Terdahulu, ketika perbahasan Mohamad hari ini, Wan Fayhsal mendakwa perubahan untuk memasukkan China berpunca daripada dendam peribadi terhadap bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, yang memperkenalkan dasar itu lebih empat dekad lalu ketika kali pertama menjadi perdana menteri.
“Jepun tidak memerlukan dasar sedemikian untuk terus bekerjasama dengan kita, jadi tidak perlu korbankan hubungan baik kita hanya kerana dendam Tambun (Anwar Ibrahim) untuk memadam legasi Mahathir.
“Saya bimbang hubungan baik dengan Jepun akan musnah hanya kerana dendam,” katanya.
‘Tak jejas hubungan’
Hari ini, Mohamad berkata kerajaan sedang mengkaji semula Dasar Pandang ke Timur agar kekal relevan dalam suasana geopolitik yang berubah, dengan penekanan baru kepada ekonomi digital, teknologi hijau, tenaga boleh diperbaharui dan keterjaminan makanan.

Katanya, kajian semula itu bertujuan memberikan manfaat yang lebih meluas kepada rakyat Malaysia melalui pengukuhan hubungan dengan Jepun, Korea Selatan dan China.
“Dalam melaksanakan penambahbaikan ini, sebarang perubahan tidak sepatutnya menjejaskan hubungan sedia ada dengan ketiga-tiga negara
“Malah, pengukuhan dasar ini dilihat sebagai satu peluang untuk memperdalam hubungan dengan setiap rakan strategik secara tersendiri, tanpa menjejaskan keseimbangan kepentingan bersama, sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai rakan yang diyakini di peringkat serantau dan global,” katanya ketika sesi penggulungan perbahasan Rancangan Malaysia ke-13 di Dewan Rakyat, hari ini.
Mohamad berkata kajian semula itu dilaksanakan bersama pelbagai agensi, diketuai Kementerian Ekonomi dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, dengan input daripada kementerian lain yang berkaitan, termasuk Kementerian Luar.
Anwar pertama kali mengumumkan hasrat Malaysia untuk memperluas dasar Pandang ke Timur pada 19 Dis 2023, manakala Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi pada Julai tahun lalu secara rasmi mengumumkan ia telah digantikan dengan dasar “Kerjasama dengan Timur”.
Laporan oleh Alyaa Alhadjri, Hariz Mohd, Haspaizi Zain