Timbul spekulasi dalam kalangan pengamal undang-undang bahawa hakim Mahkamah Rayuan Wan Ahmad Farid Wan Salleh merupakan antara calon untuk menjadi ketua hakim seterusnya.
Farid, 62, pernah berkhidmat sebagai bekas timbalan menteri sebelum menjadi hakim.
Ketika dihubungi Malaysiakini, beberapa sumber daripada kalangan pengamal undang-undang menyifatkan Wan Ahmad Farid Wan Salleh sebagai hakim yang adil.
Awal hari ini, The Straits Times juga menyebut bahawa nama Wan Ahmad Farid adalah antara yang dipertimbangkan untuk jawatan tertinggi kehakiman itu.
Portal yang berpangkalan di Singapura itu memetik ahli parlimen kerajaan yang tidak dinamakan sebagai berkata Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah membangkitkan nama hakim itu semasa mesyuarat beberapa hari kebelakangan ini.
Seorang peguam kanan juga dipetik sebagai berkata: “Ya, nama itu telah dibangkitkan , dan pengamal undang-undang akan lebih selesa dengan seseorang yang mempunyai pengalaman seperti dia walaupun dia bukan di Mahkamah Persekutuan.”
Wan Ahmad Farid adalah hakim Mahkamah Tinggi dari 2019 hingga 2024, selepas dilantik sebagai pesuruhjaya kehakiman pada 2015.
Sebelum itu, dia pernah berkhidmat sebagai timbalan menteri dalam negeri dari Mac 2008 hingga April 2009, dan merupakan timbalan ketua bahagian Umno Kuala Terengganu pada 2001.
Sebagai bekas hakim Mahkamah Tinggi, Wan Ahmad Farid telah membuat beberapa keputusan yang mencuri tumpuan. Ini termasuk dia menarik diri daripada mempengerusikan permohonan untuk membenarkan Queen’s Counsel (QC) dari United Kingdom bertindak bagi bekas perdana menteri Najib Abdul Razak dalam rayuan kes rasuah SRC International bernilai RM42 juta.
Dia membuat keputusan itu selepas menyebut salah seorang ahli keluarganya adalah ahli parti Najib.
Pada 11 Mei 2023, dia juga memutuskan bahawa anak-anak Loh Siew Hong telah memeluk Islam secara sah mengikut undang-undang negeri Islam Perlis, dengan afidavit pihak berkuasa Islam negeri mengesahkan bahawa kanak-kanak itu mengucap kalimah syahadah pada 2020.
Pada November tahun lalu, Wan Ahmad Farid mengarahkan polis menyelesaikan siasatan ke atas kematian Teoh Beng Hock dalam tempoh enam bulan, memutuskan bahawa terdapat kelewatan yang melampau dalam siasatan.
Ini berlaku selepas dia membenarkan semakan kehakiman keluarga Teoh berhubung insiden 2009.
Awal hari ini, Penyimpan Mohor Besar Raja-raja, Syed Danial Syed Ahmad, berkata pelantikan kehakiman adalah antara isu yang dibincangkan semasa Majlis Raja-Raja tetapi tiada pengumuman dibuat mengenai nama yang akan mengisi jawatan kosong dalam badan kehakiman.