MUKTAMAR PAS | Perwakilan Dewan Ulama PAS Pulau Pinang hari ini membidas Presiden Gerakan, Dominic Lau kerana didakwa gagal memimpin Perikatan Nasional (PN) negeri itu.
Shafirul Rozani berkata gabungan itu perlu bekerja dan dilihat berfungsi sebagai sebuah parti politik di Pulau Pinang.
Namun, menurutnya, Lau dilihat tidak mampu mengemudi gabungan pembangkang negeri tersebut.
“Tuan-tuan bayangkan macam ni. Tuan-tuan ada kereta Ferrari, ada kereta Lamborghini, tapi tuan-tuan tak boleh bawa sebab stereng kat orang lain. Boleh faham kot noh
“Stereng tu ada kat orang lain, sedangkan PN perlu dilihat bekerja dan buat kerja
“Kalau pengerusinya tak tahu bawa kereta walau kereta baru, rasanya baik tukar pengerusi lainlah kot.
“(Ini) Dalam konteks Pulau Pinang, negeri lain wallahualam, saya tak berani nak sentuh.
“Kita tak minta PM, tapi kita minta supaya setiap jawatan yang disandang khususnya dalam PN itu berperanan dan dilihat berperanan.
“Maksudnya bekerja dan dilihat bekerja,” katanya pada Muktamar Tahunan Dewan Ulama PAS Pusat Kali Ke-64 di Maahad Darul Hadis, Kampung Tok Keling, Alor Setar hari ini
Ini bukan kali pertama PAS Pulau Pinang membangkitkan isu terhadap Lau.
Dalam Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang Ke-44 tahun lalu, Dewan Pemuda PAS Tasek Gelugor mengemukakan usul agar Lau digantikan dengan orang lain dan PN negeri distruktur semula.