Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Banting Papparaidu Veraman mengecam perbuatan melepaskan tembakan di sebuah kuil Hindu di Kuala Selangor pada 31 Ogos lalu.
Wakil rakyat DAP itu berkata perbuatan tersebut bertentangan dengan ajaran agama Hindu yang mengamalkan keamanan, keharmonian dan kemanusiaan.
“Oleh itu, sebarang bentuk keganasan tidak boleh wujud dalam sambutan atau aktiviti keagamaan.

“Perbuatan ini perlu dikecam sekeras-kerasnya.
“Saya memberikan sokongan penuh kepada pihak polis dan pihak berkuasa yang berkaitan untuk menjalankan siasatan menyeluruh, melakukan serbuan dan tangkapan, serta mendakwa mereka yang terlibat di mahkamah agar insiden seumpama ini tidak berulang di mana-mana bahagian negeri kita atau di seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau juga menggesa Persatuan Hindu Sangam Malaysia mengeluarkan kenyataan bahawa perbuatan tersebut tidak mencerminkan agama (Hindu) dan tidak akan diterima di mana-mana kuil.
Semalam, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Azaharudin Tajudin berkata seorang suspek ditahan di Petaling Jaya pada pukul 8 malam pada hari sebelumnya.

Lelaki itu direman selama tiga hari sejak semalam, kata Azaharudin dalam satu kenyataan.
Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960 yang menyatakan bahawa seseorang tidak boleh melepaskan tembakan tanpa kebenaran, kecuali anggota angkatan tentera, dengan pengecualian bagi melindungi nyawa atau harta benda.
Hukuman bagi perbuatan melanggar undang-undang tersebut adalah di bawah Seksyen 43, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih setahun, denda sehingga RM2,000, atau kedua-duanya.
Azaharudin berkata laporan polis dibuat pada 1 September kira-kira pukul 3.50 petang selepas video insiden itu tular.