Malaysia Oversight

Wakil Pulau Pinang dakwa DAP, Gerakan ‘jarah’ kampung Melayu

By MkiniBM in September 12, 2025 – Reading time 2 minute
Wakil Pulau Pinang dakwa DAP, Gerakan 'jarah' kampung Melayu


MUKTAMAR | Seorang perwakilan Pemuda Pulau Pinang mendakwa pentadbiran DAP dan Gerakan – yang mentadbir negeri itu sebelumnya – menjarah kampung-kampung Melayu serta mengusir masyarakat Melayu dan mamak dari Pulau Pinang.

Berucap dalam Muktamar Pemuda hari ini, Saiful Rizwan Mahmud malah mendakwa kandang dibina dengan bebas di kawasan majoriti Melayu, mencetuskan rasa kecewa dan malu dalam kalangan penduduk tempatan.

“Sejarah kita tak dapat ubah. Ketika mana DAP dan Gerakan memimpin Pulau Pinang, tidak dihamparkan satu karpet merah bagi kampung-kampung Melayu.

“Rakus menjarah kampung-kampung Melayu, mengusir Melayu di Pulau Pinang, tidak ketinggalan juga mamak (masyarakat India Muslim).

“Kandang bebas dibina, bebas diternak di kawasan Melayu, di tengah kampung-kampung Melayu,” katanya, sambil menegaskan bahawa isu itu sering dipandang sepi oleh terdahulu.

Dia berkata demikian dalam ucapan bertajuk ‘Teruskan Momentum Kemenangan’, di Kompleks PAS Kedah, Alor Setar, hari ini.

Saiful turut menyatakan rasa kecewa dengan keputusan pimpinan PN yang menyerahkan kerusi DUN Bayan Lepas kepada Presiden Gerakan Dominic Lau pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu.

“Saya membawa harapan dan suara keramat mamak dan Melayu di Pulau Pinang.

“(Pemuda PAS) Pulau Pinang memohon untuk menyuarakan perkara ini agar peristiwa yang berlaku di DUN Bayan Lepas tidak berlaku lagi.

“Ini kerana jika satu kerusi di Pulau Pinang digadaikan (kepada pihak lain), maka akan hilang satu kampung Melayu dari peta Pulau Pinang.

“Hangpa nak mai Pulau Pinang makan nasi kandar pun tak ada dah lepas ini,” katanya.

DUN Bayan Lepas merupakan kerusi majoriti Melayu dengan 64 peratus Melayu, 30.2 peratus pengundi Cina dan 5.7 peratus pengundi India.

Secara tradisinya, kerusi itu ditandingi oleh calon PAS sehinggalah pada PRN pada 2023 apabila ia diserahkan kepada Gerakan, yang mencetuskan kemarahan akar umbi PAS di sana.

Pada PRN itu, Lau kalah kepada calon PH dari Amanah, Azrul Mahathir Aziz dengan perbezaan 1,889 undi.



Source link