PARLIMEN l Seorang ahli Parlimen pembangkang hari ini mencadangkan supaya kerajaan mengubah suai Tugu Negara agar monumen ikonik negara itu lebih menggambarkan askar tempatan yang berjuang untuk kemerdekaan negara.
Kalam Salan (Perikatan Nasional – Sabak Bernam) berhujah bahawa monumen sekarang — yang dirasmikan pada tahun 1966 — menampilkan patung gangsa askar yang menyerupai masyarakat Eropah.

Katanya, perkara itu seolah-olah mengagungkan penjajah berbanding mereka yang gugur menentang penjajahan demi kebebasan tanah air.
“Ia simbol kemerdekaan negara kita kerana di sana kalau kita lihat patung yang memegang bendera itu adalah wira negara kita, ia (adalah) simbol.
“Tapi kalau kita tengok mukanya, hidungnya mancung macam orang Eropah, kenapa tidak ditukar kepada saiz (ketinggian mereka menjadi) lebih pendek-pendek macam orang Asia, orang Malaysia?
“Muka hidung (kita) pun tak mancung sangat macam saya, kan? Itu macm kita mendewa-dewakan pejuang daripada Eropah yang menjajah kita,” katanya.

“Jadi saya cadangkan, akan datang kalau nak ubah suai, ubah suai Tugu Negara yang begitu menimbulkan semangat kenegaraan, keperwiraan kepada negara kita kepada patung-patung yang mirip orang Asia,” tambahnya.
Kalam mengemukakan cadangan itu ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 di peringkat jawatankuasa, sambil meminta penjelasan kerajaan berhubung rancangan perbelanjaan RM600 juta bagi kerja-kerja pemulihan beberapa bangunan bersejarah, termasuk Carcosa Seri Negara di Kuala Lumpur.
Dia turut mempersoalkan mengapa kerajaan tidak memasukkan Tugu Negara dalam senarai projek baik pulih tersebut.
“Saya faham RM600 juta daripada Khazanah itu bukan untuk Carcosa dan Seri Negara, ia juga melibatkan stesen keretapi, bangunan Sultan Abdul Samad.
“Tetapi, maklumat penjelasan daripada YB timb menteri kewangan bahawa Carcosa itu akan dijadikan kafe untuk dapatkan pulangan dianggarkan perbezaannya ini, belanja sebanyak RM200 juta.

“Saya terfikir kalau buat kafe, berapa cawan kopi nak jual untuk dapatkn RM200 juta tu balik semula. Jadi kafe yang macam mana ini? Jadi itu pun perlu penjelasan. Nak jual daun ketum tidak boleh pula kan?” soalnya sambil tersenyum.
Di bawah rang undang-undang itu yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim bulan lalu, kerajaan memaklumkan bahawa Khazanah Nasional Berhad akan menanggung kos RM600 juta bagi kerja pemulihan Carcosa Seri Negara serta enam blok bangunan di Kompleks Sultan Abdul Samad.






