Volvo lagi sekali mengukuhkan jenamanya di pasaran Malaysia dengan Sedan elektrik “selamat” iaitu ES90, sebuah sedan elektrik sepenuhnya yang bakal menjadi model flagship baharu jenama tersebut.

Untuk pengetahuan anda, Volvo ES90 merupakan sedan elektrik penuh yang akan menyertai barisan kenderaan pemasangan tempatan (CKD) di Malaysia.
Dari segi teknologi, Volvo ES90 dibina menggunakan seni bina 800-volt, menjadikannya antara model paling canggih dalam segmennya. Ia menyokong pengecasan pantas DC sehingga 350 kW, membolehkan bateri dicas daripada 10% ke 80% dalam kira-kira 22 minit, atau menambah jarak pemanduan sekitar 300 kilometer dalam hanya 10 minit.

Dari sudut prestasi pula, Volvo ES90 dikuasakan oleh motor elektrik yang menghasilkan kuasa sehingga 333 PS, bersamaan 329 hp dan 480 Nm tork, dengan jarak pemanduan sehingga 651 kilometer (WLTP) bagi satu cas penuh. Pecutan dari 0-100km/j dalam sekitar 6.6 saat, dengan kelajuan maksimum 180 km/j.
Tambahan, model ini dibangunkan di atas platform SPA2 dan merupakan kenderaan sepenuhnya berasaskan perisian, disokong oleh Superset Tech stack yang membolehkan kemas kini perisian secara over-the-air (OTA).
Bahagian dalaman ES90 hadir dengan pendekatan minimalis moden, dilengkapi skrin infotainment bersaiz besar sebagai pusat kawalan utama kenderaan. Sistem audio premium Bowers & Wilkins turut ditawarkan, memberikan pengalaman bunyi yang lebih imersif.
Selain itu, ES90 turut menjadi model Volvo pertama yang dilengkapi dengan sistem pengkomputeran NVIDIA DRIVE AGX Orin, menjadikannya Volvo paling berkuasa dari segi kapasiti pemprosesan setakat ini. Sistem ini menjadi asas kepada teknologi keselamatan generasi baharu, integrasi kecerdasan buatan, serta pengoptimuman pemanduan berasaskan data.

Dalam masa yang sama, Volvo turut memperkukuhkan lagi fokus terhadap aspek keselamatan, selari dengan identiti jenama yang sinonim dengan perlindungan pengguna jalan raya. Antara inovasi utama Volvo termasuk Three-Point Safety Belt yang diperkenalkan pada tahun 1959.
Volvo juga memperkenalkan Safe Space Technology, iaitu satu ekosistem keselamatan menyeluruh merangkumi struktur casis, teknologi aktif dan pasif, serta sistem bantuan pemandu yang membolehkan kenderaan menjangka risiko. Untuk masa hadapan, Volvo Car Malaysia turut memperkenalkan konsep Multi-Adaptive Safety Belt, yang dilihat sebagai revolusi seterusnya dalam teknologi tali pinggang keselamatan dengan keupayaan menyesuaikan tahap perlindungan mengikut situasi dan penumpang.

Volvo ES90 ditawarkan pada harga bermula RM339,888. Volvo Car Malaysia turut menawarkan diskaun awal 2% (sekitar RM6,000) untuk 100 pembeli terawal, selain diskaun sehingga 8% bagi pembelian fleet. Anda boleh mula menempah kereta elektrik ini atau hadir sendiri ke cawangan Volvo yang berhampiran.





