Vivo V60 diumumkan secara rasmi untuk pasaran Malaysia. Peranti ini hadir dengan penambahbaikan dari segi fungsi lebih menarik. Selain itu, ia turut mengekalkan sistem kamera ZEISS yang membolehkan penggunaan penuras khas bagi menghasilkan gambar yang lebih berkualiti tinggi.


Vivo V60 hadir dengan skrin AMOLED 6.77 inci HDR10+ beresolusi 1.5K yang menyokong kadar segar semula sehingga 120Hz. Skrin ini turut menawarkan kecerahan puncak 1500 nits dan dilengkapi sistem pengimbas cap jari terbina dalam.


Dikuasakan oleh cip Snapdragon 7 Gen 4, peranti disertakan dengan memori sehingga 12GB RAM dan storan dalaman 512GB. Ia menjalankan Funtouch OS 15 berasaskan Android 15 bagi menawarkan pengalaman pengguna terkini bersama pelbagai ciri berasaskan kecerdasan buatan seperti Google Gemini, AI Captions, AI Smart Calls, Weak Signal Enchancement, Block Spam Calls dan banyak lagi.


Vivo V60 dilengkapi sistem kamera ZEISS yang merangkumi sensor utama 50MP dengan OIS, telefoto 50MP, ultra-lebar 8MP serta kamera hadapan 50MP untuk swafoto dan panggilan video. Ia masih mengekalkan teknologi Aura Light yang telah digunakan sejak beberapa generasi terdahulu.


Peranti turut menggunakan bateri berkapasiti 6500mAh dengan sokongan pengecasan pantas 90W. Antara ciri tambahan yang disertakan termasuk pembesar suara stereo, Bluetooth 5.4, NFC, serta ketahanan air dan debu dengan penarafan IP68/69.

Peranti ini ditawarkan di pasaran Malaysia pada harga bermula RM1,899 (eksklusif dalam talian) untuk model 8GB/ 256GB storan, RM1,999 bagi 12GB / 256GB dan RM2,399 untuk model tertinggi 12GB / 512GB. Menariknya, model paling besar boleh didapati serendah RM2,299 untuk masa terhad.


Pratempahan kini dibuka yang disertakan dengan hadiah bernilai sehingga RM1336 termasuk POP Mart ZSIGA Limited Edition Box. Menariknya, hadiah eksklusif ini ditawarkan sebagai sebahagian daripada kolaborasi khas antara Vivo dan jenama berkenaan.