Parti Bersatu Sabah (PBS) menafikan dakwaan rasuah yang dilemparkan oleh Naib Presiden Warisan, Terrence Siambun, menuduhnya memutar belit kenyataan dan menjadikan derma politik sebagai “naratif palsu” penyalahgunaan kuasa.
Pemangku presiden PBS Joachim Gunsalam (gambar atas) berkata dakwaan Warisan adalah “melulu, mengelirukan, dan bermotif politik,” sambil menambah bahawa Siambun memutar belit dengan mengabaikan konteks.
“Mengesahkan bahawa video itu tulen tidak bermakna mengaku bersalah. Ketulenan dan salah laku adalah dua perkara yang sangat berbeza,” katanya ketika menjawab Siambun, semalam.
Warisan sebelum ini menyifatkan SPRM gagal bertindak ke atas skandal yang melibatkan projek perlombongan di Sabah.
Dia berkata pengakuan Gunsalam terhadap video yang membabitkan dirinya dalam skandal perlombongan Sabah adalah bukti bahawa dia telah menerima sumbangan politik daripada ahli perniagaan kontroversi Albert Tei.

“Gunsalam kini telah mengakui video itu adalah tulen. Ini bermakna rakaman yang telah kita tonton, bincang dan persoalkan itu bukan palsu. Ia benar. Ia berlaku,” kata Siambun dalam satu kenyataan.
Dia berhujah bahawa komen Gunsalam – “kami tidak pernah minta, dia yang bagi dulu” – adalah pengakuan bahawa wang sememangnya telah bertukar tangan.
“Tidak kira siapa yang menawarkan atau yang meminta. Wang bertukar tangan antara ahli perniagaan dan wakil rakyat. Itulah definisi rasuah dan salah guna kuasa,” tambahnya.
Malaysiakini sebelum ini melaporkan bahawa Gunsalam mengesahkan kewujudan video yang menunjukkan dia bercakap dengan Tei, walaupun rakaman itu belum didedahkan secara terbuka.
Gunsalam berkata bahawa kenyataannya telah diambil di luar konteks, menegaskan bahawa tiada seorang pun daripada PBS telah meminta wang dan bahawa sebarang sumbangan daripada Tei adalah sumbangan politik sukarela yang dikendalikan melalui saluran parti yang betul.
“Sumbangan politik tidak menyalahi undang-undang apabila dibuat secara telus dan berniat baik.
“Adalah salah dan tidak bertanggungjawab untuk menyamakan setiap sumbangan kepada parti sebagai rasuah,” katanya.
Penyandang DUN Kundasang itu berhujah bahawa kontroversi yang lebih meluas harus dilihat sebagai percubaan Tei untuk menguasai industri perlombongan Sabah melalui firma proksi, bukan sebagai bukti salah laku pemimpin PBS.
Gunsalam berkata gesaan berulang kali Warisan untuk tindakan SPRM adalah “provokasi tidak berasas” yang bertujuan untuk mempengaruhi pendapat umum dan menjejaskan kestabilan PBS.
“Rakyat Sabah berhak mendapat kebenaran, bukan sandiwara. Apa yang dipanggil pendedahan tidak lebih daripada wayang politik yang bertujuan untuk menyerang PBS dan menggugat kestabilan kepimpinan semasa,” katanya.






