Malaysia Oversight

Victoria Institution Cadet Corps Band harumkan nama Malaysia di pentas dunia

By Utusan in August 12, 2025 – Reading time 2 minute
Victoria Institution Cadet Corps Band harumkan nama Malaysia di pentas dunia


PETALING JAYA: Victoria Institution Cadet Corps Band (VICCB) sekali lagi mengharumkan nama Malaysia apabila berjaya meraih beberapa anugerah utama pada Kejohanan Dunia World Association of Marching Show Band (WAMSB) yang berlangsung di Jakarta, Indonesia dari 8 hingga 10 Ogos 2025.

Kejohanan berprestij tersebut menghimpunkan pasukan pancaragam terbaik dari beberapa negara termasuk Indonesia, Taiwan dan Poland.

VICCB mempamerkan persembahan penuh disiplin, ketepatan dan kreativiti yang tinggi sehingga memikat hati para juri dan penonton.

Antara pencapaian membanggakan VICCB ialah Juara Divisyen Senior Field Parade, Juara Drum Major Divisyen Senior Field Parade, Tempat ketiga Komander Padang Showband Divisyen Senior dan Naib Juara Divisyen Senior Marching Show Bands.

4

Pengarah Pasukan VICCB, Nazmi Naim Abd Ghani berkata, kejayaan itu adalah hasil usaha keras berbulan-bulan, latihan tanpa mengenal penat lelah dan komitmen tinggi seluruh ahli pasukan.

“Kami sangat bangga dapat membawa nama Malaysia ke pentas antarabangsa dan membuktikan bahawa disiplin, semangat berpasukan serta muzik mampu menyatukan semua,” katanya.

Pasukan ini dibimbing oleh tujuh jurulatih berpengalaman yang diketuai oleh beliau sendiri yang juga alumni Victoria Institution.

Pengurus pasukan, Zakaria Patrum turut memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran latihan dan perjalanan pasukan.

Kejayaan ini bukan sahaja milik VICCB, malah turut mendapat sokongan padu daripada Parent Support Group (PSG) VICCB yang diketuai oleh Izafarhana dan Ketua Guru Penasihat, Azmier Azhan.

Pengetua Victoria Institution, Abd Samad turut memberikan sokongan penuh terhadap pasukan ini.

Dengan sejarah lebih 116 tahun sebagai ikon persembahan beruniform di Malaysia, VICCB terus komited untuk meningkatkan mutu muzik perarakan negara ke tahap antarabangsa.

Kejayaan di Jakarta ini diharap menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk terus berkarya, berdisiplin dan mengejar impian tanpa mengenal batas.

VICCB dikenali sebagai salah satu pasukan pancaragam sekolah menengah yang paling berprestij di negara ini, terkenal dengan disiplin tinggi, persembahan berkualiti dan sejarah pencapaian yang gemilang di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. – UTUSAN





Source link