Malaysia Oversight

Victoria Beckham bangga suami kini bergelar Sir David Beckham

By Utusan in November 5, 2025 – Reading time 2 minute
Victoria Beckham bangga suami kini bergelar Sir David Beckham


LONDON: Anggota kumpulan Spice Girls, Victoria Beckham meluahkan rasa bangga terhadap suaminya iaitu bekas bintang bola sepak England, David Beckham, 50,yang menerima darjah kebesaran knighthood daripada Raja Charles III di Istana Windsor, semalam.

Pereka fesyen berusia 51 tahun itu berkata, dia ‘tidak pernah berasa lebih bangga’ apabila melihat suaminya kini bergelar Sir David Beckham sebagai pengiktirafan atas jasanya dalam bidang sukan dan kerja amal.

“David, sejak detik pertama saya bertemu anda 28 tahun lalu, anda sentiasa berbangga mewakili negara. Sama ada di dalam atau luar padang, tiada siapa yang lebih mencintai England dan menghormati keluarga diraja berbanding anda.

“Saya tidak pernah berasa bangga setinggi ini. Buat Sir @davidbeckham, kami semua sangat menyayangi anda,” katanya dalam satu hantaran di Instagram.

Ruangan komen hantaran tersebut dibanjiri ucapan tahniah daripada peminat serta rakan selebriti.

Antara yang turut memberikan reaksi termasuk personaliti televisyen Kris Jenner, pelakon Richard E. Grant, bintang Ted Lasso Hannah Waddingham serta jaguh Olimpik, Mo Farah.

Selepas istiadat penganugerahan, David bersama keluarga diraikan di Cliveden House and Spa, Berkshire iaitu sebuah hotel dan spa bertaraf lima bintang yang terletak di kawasan seluas 376 ekar tanah simpanan National Trust.

Mereka turut merakam foto keluarga sebagai kenangan detik bersejarah itu.

Dengan 25 trofi, 115 caps bersama England, lima kejohanan antarabangsa dan deretan gol yang tidak ternilai, penganugerahan tersebut menjadi kemuncak kepada kerjaya 21 tahun David Beckham yang penuh gemilang.

Sementara itu,Sir David mengakui dirinya sebak menerima penghormatan tertinggi tersebut.

“Saya bertuah dalam kerjaya, tetapi menerima gelaran knight ini adalah sesuatu yang tidak pernah saya bayangkan,” katanya.

Tidak cuma itu, David turut mendedahkan Raja Charles memuji sut khas yang direka dan dihasilkan sendiri oleh Victoria untuk majlis itu.

“Seorang budak dari East End London, lahir di Leytonstone, kini berdiri di Istana Windsor untuk dihormati oleh seorang raja, ini detik paling membanggakan dalam hidup saya,” ujarnya.





Source link