Malaysia Oversight

Veteran polis saran hukuman khidmat masyarakat

By MkiniBM in August 10, 2025 – Reading time 2 minute
malaysiakini logo


Persatuan Kebajikan Veteran Polis Malaysia (VPOL) mencadangkan agar hukuman khidmat masyarakat dikenakan terhadap individu yang menggantung bendera Malaysia secara terbalik atau menghina bendera negara, termasuk dengan meminda undang-undang sedia ada.

Setiausaha Agung VPOL, Muhammad Shafiq Izwan Mohd Yunos berkata hukuman itu boleh melibatkan penyertaan kursus patriotisme dan etika kewarganegaraan, selain mewajibkan pelaku memberi ceramah kesedaran kepada masyarakat.

“Hukuman khidmat masyarakat seperti menyertai kursus patriotisme dan etika kewarganegaraan perlu dikenakan kepada mereka ini. Mereka juga hendaklah diwajibkan untuk memberikan ceramah kesedaran bendera Malaysia kepada masyarakat yang lain.

“VPOL berpendapat hukuman sebegini perlu dilaksanakan sebagai peringatan agar perkara ini tidak terus berulang,” katanya dalam kenyataan.

Muhammad Syafiq menegaskan langkah itu wajar dilaksanakan sebagai tindakan mendidik sebelum hukuman lebih berat dikenakan, selain memberi pengajaran kepada masyarakat lain.

“Hukuman lebih berat perlu dikenakan sekiranya perbuatan ini berulang kembali. Alasan seperti mereka tidak sengaja atau tidak berniat tidak lagi relevan dijadikan sebagai pembelaan sekiranya perbuatan tersebut berulang di masa akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, VPOL menzahirkan rasa kecewa terhadap sikap segelintir masyarakat yang didakwa tidak menghormati bendera Malaysia, menyifatkan kes bendera terbalik berlaku saban tahun, termasuk ketika negara menyambut bulan kemerdekaan dan menjelang Hari Malaysia.

471bb9bd6bb927b7677b60f99f90e203

Terdahulu, pemilik sebuah kedai perkakasan di Pulau Pinang menjelaskan dia sedang mengukur panjang sebatang tiang besi semasa menggantung bendera kebangsaan dan tidak menyedari bendera tersebut dalam keadaan terbalik.

Pemilik kedai itu memohon maaf dan memaklumkan telah pergi ke Balai Polis Kepala Batas pada jam 1.30 tengah hari untuk membuat laporan bagi mengambil tanggungjawab, menjelaskan fakta dan memberikan penerangan.

Insiden terbaru itu tular di media sosial selepas sebuah akaun Facebook menggunakan nama “Nazirul Hafiz” memuat naik video berdurasi 20 saat mengenai kejadian tersebut.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Anuar Abd Rahman, semalam berkata siasatan sedang dijalankan, termasuk merekodkan kenyataan pengadu dan suspek yang terlibat dalam kejadian itu.



Source link