Malaysia Oversight

Veteran DAP N Sembilan pakai ‘topeng tuala wanita’ bantah senator ‘orang luar’

By MkiniBM in August 3, 2025 – Reading time 2 minute
Veteran DAP N Sembilan pakai ‘topeng tuala wanita’ bantah senator ‘orang luar’


Kelab Veteran DAP Negeri Sembilan mengecam jawatankuasa parti negeri kerana didakwa “menggadai” kepentingan rakyat Negeri Sembilan dengan mencadangkan pelantikan “orang luar” sebagai senator.

Dalam sidang media pagi ini, mereka mengenakan pelitup muka khas menyerupai tuala wanita sebagai simbol menyindir ahli jawatankuasa DAP Negeri Sembilan atas sikap membisu mereka berhubung pelantikan Vincent Wu Him Ven, yang berasal dari Johor.

Menurut beberapa laporan media, lebih 50 veteran parti serta wakil cawangan DAP Negeri Sembilan hadir bagi membantah tindakan itu.

Pengerusi kelab, Lee Kong Hin turut mempamerkan pelitup muka khas itu sebagai simbol kepada “diam seribu bahasa” jawatankuasa negeri apabila berdepan kritikan akar umbi.

“Pelitup muka ini tebal, padat, sangat menyerap, dan kalis bunyi – ia menggambarkan betapa senyapnya mereka,” katanya.

Hadirin turut melaungkan slogan “tolak orang luar! Siapa dia?” dan menyasarkannya terus kepada Wu, yang juga merupakan ahli jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) DAP secara lantikan.

cdc531a69e80cc42fc9be903ac3f4497
Lee Kong Hin

Senator semasa dari Negeri Sembilan, A Kesavadas Nair akan menamatkan tempoh perkhidmatannya bulan ini dan tidak layak dilantik semula selepas berkhidmat selama dua penggal.

Bagaimanapun, difahamkan bahawa jawatankuasa DAP Negeri Sembilan bercadang mencalonkan Wu bagi mengisi kekosongan itu semasa sidang DUN esok.

Lee turut memaklumkan Wu telah menerima gelaran “Datuk” daripada Negeri Sembilan dua tahun lalu, juga ketika dia masih dianggap sebagai orang luar.

Susulan itu, mereka menuntut agar jawatankuasa DAP negeri menarik balik cadangan pelantikan tersebut dan memberi keutamaan kepada calon anak jati Negeri Sembilan.

‘Kami bukan bodoh’

Dengan nada marah, Lee mempersoalkan, “Negeri Sembilan ada 120 cawangan dan puluhan ribu ahli parti – adakah tiada sesiapa yang layak? Adakah kami semua telah mati? Ini satu penghinaan kepada ahli DAP Negeri Sembilan.”

Dia juga menegaskan negeri itu tidak kekurangan calon yang berkelayakan seperti peguam, doktor, usahawan dan profesional lain.

“Kami bukan bodoh,” tegasnya lagi.

Sejak Jun lalu, kata Lee, dia dan beberapa cawangan DAP lain telah mengemukakan nama calon tempatan untuk pertimbangan jawatankuasa negeri.

Antara nama yang dicadangkan termasuk Setiausaha Eksekutif Kelab Veteran, Lim Yau Sin dan bekas Rahang selama dua penggal, Mary Josephine Pritam Singh.

Namun begitu, katanya, tiada sebarang maklum balas atau perbincangan dibuat, dan dia hanya tahu tentang pelantikan tersebut selepas Wu mula menerima ucapan tahniah di kumpulan WhatsApp.

“Kalau calon yang kami kemukakan tak sesuai, kita boleh bincang. Dengan begitu banyak pilihan, kenapa tetap pilih orang luar?”

Lee turut memberi amaran bahawa jika orang luar terus diberi tempat menggantikan anak tempatan dalam jawatan , tidak mustahil jawatan menteri atau timbalan menteri akan turut diserahkan kepada pihak luar.

Dia menegaskan bahawa protes hati ini adalah “mengenai isu, bukan individu” dan bertujuan mempertahankan maruah serta hak ahli DAP Negeri Sembilan.

Katanya lagi, jika jawatankuasa negeri terus membisu, mereka tidak menolak untuk membuat protes yang lebih besar.

DAP Negeri Sembilan dipimpin oleh Anthony Loke, yang juga setiausaha agung parti itu.



Source link