Malaysia Oversight

Venezuela hadapi ancaman susulan kehadiran tentera laut AS

By MkiniBM in September 2, 2025 – Reading time 1 minute
malaysiakini logo


Presiden Venezuela, Nicolas Maduro pada Isnin memberi amaran bahawa negaranya berdepan “ancaman terbesar dalam 100 tahun terakhir” susulan peningkatan kehadiran tentera laut Amerika Syarikat (AS) berhampiran perairan wilayahnya, lapor Xinhua.

Dalam sidang akhbar, Maduro menyifatkan tindakan AS itu sebagai “tidak wajar” dan “benar-benar ancaman jenayah.”

Beliau mendakwa lapan kapal Tentera Laut AS yang membawa 1,200 peluru berpandu serta sebuah kapal selam nuklear kini menyasarkan Venezuela.

AS telah meningkatkan apa yang disebut mereka sebagai “tekanan maksimum”, kali ini melalui cara ketenteraan dan sebagai tindak balas, Venezuela telah mengisytiharkan kesiapsiagaan maksimum untuk mempertahankan negara, tegas Maduro.

Maduro menegaskan Venezuela tidak akan tunduk kepada “pemerasan dan ancaman”, serta negara itu cintakan keamanan tetapi akan berjuang mempertahankan wilayah jika diserang.

Beliau turut mengumumkan program kebangsaan bagi melatih orang awam dan menubuhkan Unit Tempur Militia Komunal untuk memperkukuh pertahanan negara.

Beliau menolak tuduhan AS bahawa pemerintahannya terlibat dalam pengedaran dadah, sambil menekankan pasukan keselamatan Venezuela telah memintas penyeludupan dadah berskala besar.

Maduro berkata saluran komunikasi sedia ada dengan AS kini “terputus,” namun Venezuela tetap mengekalkan saluran diplomatik dan dialog yang terbuka.

Bernama – Xinhua



Source link