SHAH ALAM: Penjualan dan penggunaan rokok elektronik atau vape wajar dikawal dengan meletakkan kepentingan kesihatan awam, berbanding menguatkuasakan larangan bagi mengelakkan daripada berdepan pertikaian di mahkamah.
Malah, tindakan melarang penjualan dan penggunaan bahan tersebut juga berisiko membuka ruang jenayah komersial yang lebih luas seperti penjualannya secara haram atau dalam pasaran gelap.
Presiden Malaysian Organisation of Vape Entity (MOVE), Samsul Kamal Ariffin berkata, kawal selia vape berdasarkan bukti saintifik boleh memberi manfaat kepada negara apabila tiga perkara utama boleh dicapai melalui kerangka kala selia yang jelas.
“Memisahkan vape daripada kategori narkotik, mengawal akses untuk melindungi golongan muda, serta mengiktiraf vape sebagai alat berhenti merokok. Vape bukan narkotik. Ia hanyalah peranti penghantaran, sama seperti picagari atau inhaler.
“Yang menjadikannya berbahaya ialah apabila ia dicemari bahan terlarang dalam pasaran gelap akibat larangan. Dengan kawalan, kita boleh pastikan kandungan selamat dan akses lebih bertanggungjawab,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Tambahnya, menyamakan penggunaan vape dengan dadah adalah sesuatu yang mengelirukan serta menyukarkan penyelesaian realistik dan praktikal.
Baru-baru ini, cadangan larangan penjualan vape kembali menjadi polemik apabila Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad mendakwa pengharamanya hanyalah soal masa, bukan kemungkinan.
Bagaimanapun, beliau mengakui mengawal selia produk vape adalah langkah lebih pragmatik kerana larangan serta-merta berisiko berdepan cabaran undang-undang dan komersial.
Samsul Kamal berkata, vape juga boleh menjadi sebahagian daripada strategi pengurangan mudarat akibat rokok tembakau berdasarkan dapatan dalam kajian oleh Public Health England, pada 2015 yang menyatakan alat tersebut 95 peratus kurang bahaya.
Jelasnya, malah negara seperti United Kingdom dan New Zealand, berjaya menggabungkan kawal selia dengan pendidikan awam dalam usaha mengurangkan tabiat merokok.
“Larangan tidak menghapuskan risiko. Ia hanya mengekalkan pilihan yang paling berbahaya, iaitu rokok, sambil menutup alternatif yang lebih selamat.
“Bila kita bercakap tentang haramkan vape, hakikatnya kita bukan melindungi kesihatan, tetapi melindungi industri rokok,” ujarnya.
Katanya lagi, kawal selia membolehkan penetapan umur minimum, sistem pelesenan serta hukuman yang boleh dikuatkuasakan terhadap penjual yang ingkar. – UTUSAN