Valve Mahu HDMI Forum Menyokong Teknologi Sumber Terbuka Melalui HDMI 2.1
Nazrin
Teknologi High-Definition Media Interface ataupun lebih dikenali sebagai HDMI ialah sebuah teknologi sambungan media yang dibangunkan oleh HDMI Forum sebagai piawaian teknologi untuk sambungan berdefinisi tinggi untuk pelbagai jenis media dan peranti-peranti elektronik.
HDMI 2.1 dan HDMI 2.2 khususnya hadir dengan sambungan yang membolehkan pengguna untuk memperlihatkan output video pada resolusi dan kadar segar semula yang tinggi, seperti 4K pada 120Hz dan 5K pada 240Hz dan mempunyai pelbagai sokongan penyulitan yang terhad kepada penggunaan teknologi tertutup sahaja.
Dalam satu temubual bersama Ars Technica, Valve mengatakan bahawa walaupun palam yang disenaraikan pada Steam Machine ialah HDMI 2.0, mereka mengatakan bahawa palam fizikal yang digunakan adalah palam HDMI 2.1.

Sayangnyam HDMI Forum yang merupakan pembangun teknologi HDMI tidak membenarkan penggunaan teknologi sumber terbuka bersama-sama sambungan HDMI terbaru. Sebelum ini, AMD telah meminta HDMI Forum untuk membolehkan sambungan HDMI 2.1 digunakan bersama-sama perisian grafik sumber terbuka mereka, tetapi ditolak bulat-bulat oleh HDMI Forum.
Valve dikatakan akan berbincang dengan pihak tersebut untuk membolehkan perisian pemandu sumber terbuka seperti AMDGPU untuk digunakan dengan teknologi HDMI, khususnya kerana Steam Machine menggunakan cip pemprosesan grafik AMD RDNA 3.5, tetapi perbincangan ini dijangka akan memakan masa kerana spesifikasi ketat yang diwajibkan oleh HDMI Forum.
Peluang untuk Valve dilihat tipis, tetapi oleh kerana piawaian HDMI 2.2 baru sahaja diperkenalkan, HDMI Forum mungkin akan lebih terbuka untuk membenarkan platform sumber terbuka menggunakan teknologi HDMI 2.1 yang sudahpun diperkenalkan sejak 2017.
Jika Valve dipaksa hanya menggunakan sambungan HDMI 2.0, had maksima resolusi dan kadar segar semula yang boleh dipadankan bersama Steam Machine ialah resolusi 4K dan kadar segar semula 60FPS secara lalai.





