Malaysia Oversight

‘Usno wajar nilai semula kedudukan dalam GRS’

By MkiniBM in May 1, 2025 – Reading time 2 minute
'Usno wajar nilai semula kedudukan dalam GRS'


Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno) digesa mengkaji semula kedudukan mereka dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS), selepas gabungan itu didakwa semakin gagal menyatukan parti-parti tempatan negeri itu.

Ketua Pemuda Bersatu Sabah Mohammad Hisyam Hazaril berkata harapan rakyat Sabah untuk melihat GRS menyatukan parti tempatan dan mengangkat martabat orang Sabah semakin pudar “ditelan keangkuhan politikus”.

“(GRS) Gabungan yang kononnya mengusung slogan ‘rumah kita, kita jaga’, tetapi kini ibarat rumah yang dikuasai ‘tetamu luar’ dengan penghuni asal hanya dijadikan penumpang di ruang tamu.

“Kenyataan presiden Usno merangkap timbalan pengerusi GRS Pandikar Amin Mulia baru-baru ini membuka pekung sebenar yang sedang membarah dalam GRS,” kata Hisyam dalam kenyataan hari ini.

d6e0f12d48f1bb5c5a48c534e461c5fe
Pandikar Amin Mulia

Hisyam merujuk kenyataan Pandikar baru-baru ini yang berkata Usno mungkin akan bertanding secara solo dalam pilihan raya negeri (PRN) akan datang jika parti itu terus diketepikan dalam GRS.

Menurut laporan The Star pada 29 April lalu, Pandikar menyuarakan kekecewaan terhadap sesetengah pemimpin dalam GRS yang menurutnya mempersoalkan hak Usno untuk menuntut kerusi. 

“Kita harap pucuk pimpinan GRS mempertimbangkan Usno walaupun kita dilihat sebagai parti ‘nyamuk’,” katanya seperti dipetik.

Mengulas lanjut, Hisyam berkata kritikan seumpama itu tidak akan timbul jika GRS serius memperjuangkan kesatuan.

“Apakah ini sebenarnya wajah GRS yang sebenar? Hanya manis di luar, tetapi penuh duri di dalam?

“Apa yang jelas kini slogan ‘parti tempatan’ dan ‘rumah kita, kita jaga’ hanyalah retorik politik kosong yang direka semata untuk keselesaan politik menjelang PRN.

“Usno wajar menilai semula kedudukan mereka dalam GRS yang semakin tidak konsisten, untuk menjelaskan manifestasi pendirian parti mereka,” katanya lagi.



Source link