Malaysia Oversight

Usahawan perlu sumbangan demi teruskan inisiatif beri komputer percuma

By MkiniBM in October 23, 2025 – Reading time 2 minute
Usahawan perlu sumbangan demi teruskan inisiatif beri komputer percuma


Abu Hurairah Roslan dikenali sebagai usahawan dengan inisiatif membaiki dan menyumbang komputer riba terpakai kepada pelajar dan golongan lain yang kurang berkemampuan.

Memulakan usaha itu sejak 2020, Abu Hurairah berkata sebanyak 500 komputer riba telah diberikan, dengan kos kira-kira RM200,000.

Baru-baru ini, dia memaklumkan menerima permohonan hampir setiap minggu dan justeru mengajak orang ramai untuk menyalurkan sumbangan bagi melancarkan usaha tersebut.

Ketika dihubungi Malaysiakini, pemilik syarikat pembekal dan pembaikan komputer riba, Abu Hurairah Resources di Kuala Lumpur itu mengakui sumbangan orang ramai sebelum ini sangat membantu kelangsungan inisiatifnya, yang memberi tumpuan kepada pelajar miskin, ibu atau bapa tunggal yang memerlukan.

Katanya lagi, walaupun sudah biasa dengan permohonan yang sentiasa diterima saban minggu, tekanan tetap dirasai terutama ketika jumlah permohonan melebihi bilangan komputer riba yang ada.

Namun, dia tetap bersyukur apabila mendapat sokongan daripada orang ramai, termasuk pelanggannya.

“Ada juga yang datang beli laptop dan beri RM100 untuk sesiapa yang memerlukan nanti,” katanya.

Abu Hurairah berkata, kos membaiki sebuah komputer riba sebelum disumbangkan adalah kira antara RM700 hingga RM800 – bergantung kepada tahap kerosakan – dan dia juga menyediakan jaminan untuk kerosakan sehingga pelajar yang menerimanya menamatkan pengajian.

Katanya lagi, kos yang ditanggungnya dapat dikurangkan apabila dia menerima sumbangan komputer riba terpakai yang memiliki komponen yang masih boleh digunakan.

Tak dapat bantu semua

Dia mengakui tidak dapat membantu semua pemohon, terutama pelajar jurusan rekaan grafik dan kejuruteraan yang memerlukan komputer riba berspesifikasi tinggi.

Dalam situasi sedemikian, katanya, dia akan berbincang dengan pelajar tersebut untuk mencari jalan penyelesaian.

“Biasanya saya akan minta dia yatakan jumlah duit yang dia mampu sediakan, dan saya akan cuba tambah menggunakan duit sumbangan yang ada,” katanya.

914a2dbec83b77096a2f2b14bc244c75

Abu Hurairah juga membuat tapisan pemohon bagi memastikan penerima benar-benar layak. Dia akan meminta pemohon menyertakan surat sokongan, seperti daripada ketua kampung atau pihak lain yang berkaitan.

“Langkah ini penting untuk menilai kesungguhan pemohon.

“Misalnya daripada lima pemohon, hanya seorang yang bersungguh sediakan surat. Daripada situ, saya tahu dia benar-benar serius,” katanya lagi.

Mengakhiri perkongsiannya, Abu Hurairah menyuarakan harapan agar inisiatif kecil yang digerakkannya itu juga dapat membawa kesan kepada masyarakat.

“Pemberian komputer riba percuma bukan sekadar menyerahkan peranti, tetapi satu usaha mengubah masa depan pelajar yang memerlukan.

“Ramai pelajar yang bagus dan cemerlang gagal hanya kerana tidak dibantu,” katanya lagi.



Source link