Pemimpin Pemuda PKR Johor berkata kerajaan tidak perlu sekat perhimpunan yang akan berlangsung esok kerana himpunan aman dibenarkan dan ia adalah hak rakyat yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.
Naib Ketua Pemuda PKR Johior, Faezuddin Puad, berkata kerajaan Madani seharusnya menonjolkan sikap meraikan kehendak rakyat ingin bersuara dan berhimpun secara aman.
“Saya cukup yakin kerajaan Madani hari ini jauh lebih progresif dan jauh lebih lebih baik.
“Saya beri contoh baru-baru ini, perarakan peguam dari Istana Kehakiman ke pejabat Perdana Menteri di Putrajaya berjalan lancar. Tiada tangkapan, tiada halangan. Apa yang berlaku? Perdana Menteri (Anwar Ibrahim) sendiri sediakan air mineral dan aiskrim buat para peserta perarakan.
“Bahkan ketika gambar perdana menteri dibakar oleh mahasiswa di Sabah, beliau masih berlembut. Tidak ada arahan tangkap, tiada arahan buang universiti dan tidak ada ugutan. Kalau ini pun mereka masih mahu dakwa kerajaan Madani bersikap kejam, saya fikir mereka sudah ketandusan hujah,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya.
Esok, pemimpin Perikatan Nasional (PN) akan mengadakan himpunan Turun Anwar di ibu negara.
Ketua PN, Afnan Hamimi Taib Azamudden, berkata himpunan itu bukan bertujuan untuk menjatuhkan kerajaan, sebaliknya sekadar menuntut peletakan jawatan Anwar sebagai perdana menteri.
Mengulas lanjut, Faezuddin berkata episod lama kerajaan terdahulu tidak sepatutnya berulang apabila peserta perhimpunan Bersih ditangkap.
“Kita tidak mahu peristiwa dahulu berulang kembali, saya masih ingat ada pemimpin yang begitu fobia apabila rakyat hendak berhimpun. Sikit-sikit tangkap.
“Sebagai contoh. Siapa masih ingat sejarah baju kuning? Waktu itu sesiapa memakai baju kuning di tempat awam berisiko akan ditangkap kerana bimbang mempromosi himpunan Bersih. Sehingga timbul persepsi pihak berkuasa digunakan oleh pemerintah sebagai alat untuk menakutkan rakyat.
“Selagi himpunan berjalan dengan aman, tidak melampau, tidak ganas, tidak merosakkan harta benda awam, tidak mengancam nyawa orang ramai dan tidak fitnah maka tidak ada sebab untuk pihak berkuasa bertindak keras,” katanya.
Mengulas lanjut, Faezuddin juga menyifatkan himpunan Turun Anwar tidak akan menggugat kedudukan perdana menteri dan kerajaan.
Dia memetik kejayaan kerajaan termasuk kadar inflasi turun ke paras 1.1%, rizab negara meningkat kepada AS$120 bilion dolar, kadar pengangguran menurun kepada 3.1%, pelaburan asing meningkat, gaji penjawat awam naik sehingga 42%, dan dasar gaji minimum RM1,700.
Selain itu, katanya, perdana menteri juga baru saja umum harga minyak turun kepada RM1.99, selain bantuan tunai.
“Maka dengan pencapaian secemerlang ini, tidak ada sebab untuk perdana menteri diturunkan.
“Malah, beliau akan kekal disokong majoriti besar rakyat hingga penggal seterusnya supaya dapat memperbaiki ekonomi negara,” katanya.
Polis Kuala Lumpur menjangkakan antara 10,000 hingga 15,000 peserta akan menyertai Himpunan Turun Anwar esok.
Pemimpin PN menjangkakan penyertaan ratusan ribu, malah Ketua Pembangkang Hamzah Zainuddin meramalkan hingga sejuta akan hadir.
Perdana menteri sebelum ini mengarahkan polis agar memberikan kerjasama bagi memastikan himpunan itu berlangsung dengan aman, lancar dan tanpa sebarang intimidasi.