Pemimpin Urimai membuat laporan polis berhubung dakwaan pemalsuan dokumen pemain bola sepak “warisan” susulan tindakan sekatan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan pemain terbabit.
Setiausaha Urimai Satees Muniandy membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi mendakwa wujud kemungkinan beberapa pihak dalam Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Kementerian Belia dan Sukan serta FAM bersekongkol memalsukan dokumen.
“Jelas sekali terdapat pihak dalam FAM dan JPN yang berkonspirasi mengeluarkan kewarganegaraan Malaysia kepada tujuh pemain ‘warisan’ ini melalui cara tidak beretika.
“Tindakan ini boleh dianggap sebagai perbuatan khianat dan pengkhianatan terhadap negara. Jika rakyat biasa memberikan maklumat palsu untuk mendapatkan kad pengenalan, mereka pasti sudah didakwa,” katanya.

Semalam, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail mengumumkan di Parlimen bahawa beliau telah menggunakan kuasa yang diperuntukkan dalam Perlembagaan untuk mempertimbangkan tujuh pemain bola sepak “warisan” itu sebagai layak diberi kewarganegaraan Malaysia.
Di bawah Seksyen 20(1)(e) Jadual Kedual Perlembagaan Persekutuan menteri dalam negeri diberi kuasa budi bicara untuk mempertimbangkan permohonan kewarganegaraan warga asing, khususnya berkaitan syarat tempoh menetap minimum.
Menurut Saifuddin, pemain-pemain berkenaan telah menunjukkan tahap kecekapan memadai dalam bahasa kebangsaan berdasarkan ujian asas yang dijalankan oleh Jabatan Pendaftaran Negara.
Namun, Satees mempersoalkan dakwaan itu dan meragui sama ada pemain “warisan” benar-benar memenuhi syarat naturalisasi termasuk kemahiran berbahasa Melayu.

“Saya ingin tanya kepada menteri dalam negeri, adakah benar pemain-pemain ini mampu bertutur dalam Bahasa Malaysia? Jika benar, kita patut panggil mereka untuk temu bual.
“Media tempatan seharusnya menemu bual pemain ini dalam Bahasa Malaysia, dan biarlah kita lihat sendiri sama ada kenyataan menteri itu benar,” katanya.
Ramasamy: Lahir sinipun susah dapat IC
Satees menggesa siasatan dijalankan di bawah Seksyen 196, 197, 198, 199 dan 200 Kanun Keseksaan serta Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 dan undang-undang lain yang berkaitan.
Dia turut memaklumkan ahli Urimai di seluruh negara akan turut membuat laporan polis bagi mendesak siasatan dijalankan.
“Kami mendesak polis agar menjalankan siasatan menyeluruh dan telus, dan berharap siasatan ini tidak bersifat berat sebelah hanya kerana seorang menteri mungkin terlibat.
“Kami juga menyeru Ketua Polis Negara untuk melaksanakan tanggungjawabnya sebagai penjawat awam yang setia kepada negara — lakukan siasatan penuh dan ambil tindakan,” kata Satees lagi.

Pengerusi Urimai, P Ramasamy semalam turut menegaskan bahawa proses mendapatkan kewarganegaraan Malaysia amat sukar bagi rakyat yang dilahirkan di negara ini, dengan ramai menunggu bertahun-tahun hanya untuk menerima maklum balas daripada JPN.
Dia menuntut FAM supaya bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kes ini dan tidak bersembunyi di sebalik alasan teknikal.
Pada 26 Sept, Fifa mengenakan sekatan terhadap FAM dan tujuh pemain “warisan” kerana melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib Fifa berhubung pemalsuan dan penipuan dokumen.
Fifa mendapati FAM telah menyerahkan dokumen palsu bagi mengesahkan kelayakan pemain terbabit untuk beraksi dalam pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun.
Dalam alasan hukuman itu, Fifa mendapati datuk dan nenek tujuh pemain tersebut bukan berasal dari Malaysia seperti yang didakwa oleh badan sukan tempatan:
-
Gabriel Felipe Arrocha – datuk/nenek lahir di Sepanyol (bukan Melaka)
-
Facundo Tomás Garcés – datuk/nenek lahir di Argentina (bukan Pulau Pinang)
-
Rodrigo Julián Holgado – datuk/nenek lahir di Argentina (bukan Pulau Pinang)
-
Imanol Javier Machuca – datuk/nenek lahir di Argentina (bukan Pulau Pinang)
-
João Vitor Brandão Figueiredo – datuk/nenek lahir di Brazil (bukan Johor)
-
Jon Irazábal Iraurgui – datuk/nenek lahir di Sepanyol (bukan Sarawak)
-
Hector Alejandro Hevel Serrano – datuk/nenek lahir di Belanda (bukan Melaka)
Namun, FAM menjelaskan isu itu berpunca daripada “ralat teknikal” semasa proses penyerahan dokumen.






