Sebuah pertubuhan kesihatan mental telah menyuarakan kebimbangan terhadap satu insiden baru-baru ini, apabila seorang pelajar didakwa tidak dibenarkan memohon penempatan di universiti awam disebabkan autisme yang dihidapinya.
Menurut satu hantaran Facebook oleh pencipta kandungan, Sazly Azizuddin Sahaimi, pelajar berkenaan yang hanya dikenali sebagai Aniq, dilaporkan memiliki PNGK matrikulasi sebanyak 3.83 dan telah memenuhi syarat umum serta syarat khas program yang dipohon.
Sazly mendakwa walaupun Aniq – yang difahami sebagai anaknya – pada asalnya dapat memilih program universiti dalam fasa kedua melalui sistem Unit Pusat Universiti (UPU) namun pilihan tersebut “hilang” pada peringkat seterusnya.
Pilihan awal kursus Aniq termasuklah Sains Komputer, Sains Matematik dan Statistik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) serta Universiti Putra Malaysia (UPM), jelas Sazly.
“Kami hubungi pihak UPU. Email dihantar. Jawapan diterima, tapi sangat mengecewakan. Alasannya? Kerana Aniq adalah pelajar OKU Autisme.
“Kenapa? Apa logiknya menafikan peluang anak ini, semata-mata kerana status OKU. Walhal dari segi akademik, dia lebih dari layak?
“Adakah sistem hari ini masih melihat OKU sebagai beban, bukan potensi?
“Adakah kecerdasan Aniq dinilai dari label semata-mata, bukan keupayaan sebenarnya,” soalnya sambil menggesa pihak UPU agar mengkaji semula dasar kelayakan untuk pelajar OKU dan tidak menghadkan masa depan mereka.
Sebagai maklum balas terhadap insiden tersebut, Gabungan Kebangsaan untuk Kesejahteraan Mental (NCMW) berkata tindakan UPU mencabuli prinsip asas keadilan dan keterangkuman.
Menegaskan setiap remaja berhak mendapat laluan ke pendidikan tinggi yang menghormati kebolehan mereka – bukan disekat oleh status ketidakupayaan – NCMW memberi amaran apabila sesebuah institusi menggunakan alasan neurodiversiti untuk menarik balik peluang, ia menghantar mesej penolakan yang boleh menimbulkan rasa tidak diterima dan kegelisahan yang tinggi.
“Walaupun telah terbukti berjaya secara akademik, penolakan ini boleh mencetuskan keraguan terhadap diri sendiri dan meruntuhkan harga diri, yang meningkatkan risiko kemurungan.
“Ia memberikan tekanan besar terhadap kesihatan mental dan kesejahteraan pelajar, yang sememangnya sedang berhadapan cabaran berkaitan autisme,” jelas kenyataan itu hari ini.
Gabungan itu berkata selain trauma yang ditanggung oleh pelajar, ibu bapa yang terpaksa menjadi tunggak kekuatan keluarga juga menanggung beban emosi yang berat.
NCMW juga menyatakan sokongan terhadap gesaan yang dibuat oleh organisasi masyarakat sivil agar pihak berkuasa yang berkaitan mengambil serius akan nasib pelajar seperti Aniq – termasuk dengan mengiktiraf pencapaian akademik mereka dan hak kepada peluang yang sama rata, bukannya disisihkan atas alasan ketidakupayaan.
“Kita mesti melangkaui sekadar pematuhan kepada dasar. Nilai teras pendidikan kita haruslah mencerminkan penerimaan sebenar terhadap pelajar dalam spektrum autisme – bukan sekadar menyediakan kemudahan.
“Ia memerlukan satu transformasi budaya di mana perbezaan diraikan, setiap minda dihargai, dan setiap pelajar merasakan bahawa mereka mempunyai tempat,” tambah kenyataan itu.
Gabungan tersebut turut mencadangkan agar latihan mandatori mengenai hak OKU, keterangkuman neurodiversiti serta pertolongan cemas psikologi dan kesihatan mental diwajibkan kepada pegawai kemasukan institusi pendidikan tinggi.