Universiti Putra Malaysia (UPM) menzahirkan kekesalan dan memohon maaf atas insiden pengendalian anjing liar yang dilaporkan berlaku pada penghujung tahun 2024.
Pusat pengajian tinggi awam itu bagaimanapun menyerahkan sepenuhnya kepada polis dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar untuk menjalankan siasatan terperinci.
“UPM komited memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa sepanjang proses siasatan dijalankan,” kata UPM.

UPM juga mengumumkan bahawa pengarah pejabat pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (PPKKP) dilepaskan daripada menjalankan tugas-tugas operasi sehingga proses siasatan selesai.
Dakwaan anjing liar di UPM, Seri Kembangan ditembak polis kini dalam siasatan polis susulan laporan polis bahawa universiti itu mengupah syarikat kawalan makhluk perosak untuk membunuh haiwan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Serdang ACP Farid Ahmad berkata siasatan dijalankan bawah Seksyen 30(1) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772), yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM100,000, atau penjara tidak melebihi tiga tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Selain itu, UPM juga menangguhkan semua aktiviti pengendalian haiwan liar dalam kampus sehingga satu prosedur operasi standard (SOP) baru yang lebih menyeluruh dibangunkan.
“SOP ini akan menekankan keseimbangan antara keselamatan manusia, kebajikan haiwan dan pematuhan kepada Akta Kebajikan Haiwan 2015,” katanya.
Selain itu, UPM juga akan mengadakan beberapa sesi libat urus bersama pihak berkepentingan dalam usaha membangunkan prosedur dan merangka pendekatan terbaik yang mampan.
“UPM sekali lagi ingin menzahirkan komitmen dalam menjunjung tinggi aspirasi kesihatan planet yang mengintegrasikan kebajikan dan keselamatan manusia, haiwan dan alam sekitar sebagai agenda utama universiti dan mengambil iktibar daripada peristiwa ini,” katanya.
Terdahulu kumpulan alam sekitar Pertubuhan Perlindungan Khazanah Alam Malaysia (Peka) mendakwa UPM melantik sebuah syarikat di Sentul untuk membunuh anjing di kampus dengan kadar bayaran RM400 seekor.
NGO itu mendakwa UPM membunuh sekurang-kurangnya 15 ekor anjing, dan turut mengemukakan gambar menunjukkan haiwan berkenaan ditembak mati.
UPM mengumumkan telah menubuhkan jawatankuasa siasatan dalaman untuk menyiasat dakwaan tersebut.






