Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) hari ini secara rasmi mengambil pendirian untuk meninggalkan PH secara serta-merta.
Setiausaha Agung Upko, Nelson W Angang berkata keputusan itu diambil dalam mesyuarat khas parti itu di Kota Kinabalu petang tadi dengan mengambil kira penyertaan mereka dalam PH seak empat tahun lalu.
“Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi Upko memutuskan untuk mengundur diri daripada PH serta-merta.
“Keputusan ini akan dimaklumkan secara rasmi kepada Pengerusi PH dan parti-parti komponen PH,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Dalam kenyataan sama, Nelson berkata mesyuarat khas yang diadakan petang tadi diadakan bagi membincangkan agenda Sabah First yang menjadi asas perjuangan dan hala tuju parti berkenaan.
Katanya, mesyuarat juga menyokong penuh keputusan Presiden Upko, Ewon Benedick, yang meletakkan jawatan sebagai menteri pembangunan usahawan dan koperasi kerana tidak dapat bersetuju dengan pendirian Jabatan Peguam Negara (AGC) sepanjang prosiding semakan kehakiman terkait hak 40 peratus Sabah yang difailkan oleh Sabah Law Society.
Katanya, sepanjang tempoh empat tahun bersama PH, Upko menjadikan agenda Sabah First dalam perundingan berkaitan manifesto pilihan raya PH dan perbincangan dalam pentadbiran kerajaan perpaduan.
“Bagaimanapun, sepanjang tempoh ini, berlaku jurang intepretasi, pandangan dan pendirian di antara Upko dan parti-parti komponen PH di peringkat nasional mengenai tuntutan pelaksanaan hak hasil 40 peratus Sabah, tuntutan satu per tiga kerusi parlimen untuk Sabah dan Sarawak, serta kegagalan melaksanakan autonomi pentadbiran PH Sabah.
“Kepengerusian PH Sabah oleh Upko melalui Mesyuarat Agung PH Sabah tidak pernah diselesaikan oleh Majlis Presiden PH susulan bantahan daripada PKR Sabah.
“Malah Upko turut menerima kecaman terbuka walaupun keputusan dibuat melalui pemilihan yang dikendalikan oleh pentadbir dari Ibu Pejabat PH.
“Presiden Upko hanya dilantik sebagai ‘coordinator’ (penyelaras) tetapi keputusan-keputusan berkaitan persiapan pilihan raya oleh PH diputuskan oleh PKR tanpa autonomi sebenar oleh PH Sabah, bercanggah dengan apa yang telah diumumkan,” katanya.
[Laporan lanjut menyusul]






