Komponen PH, Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (upko) kekal dengan keputusan menggunakan logo “Kinabalu” pada pilihan raya negeri Sabah dan logo PH pada pilihan raya umum, kata presidennya, Ewon Benedick.
Ewon, yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, berkata keputusan itu dibuat selepas perbincangan di peringkat PH Sabah.
“Untuk Upko, keputusan itu (guna logo sendiri) kita buat di Sabah tetapi untuk rakan komponen seperti PKR dan DAP, walaupun kita sudah ada keputusan awal di Sabah tetapi mereka perlu merujuk dan mengadakan perbincangan lanjut mengenai keputusan mereka itu dengan kepimpinan tertinggi masing-masing di Kuala Lumpur,” katanya di Kota Kinabalu hari ini.
Ewon menjelaskan keputusan itu mencerminkan keunikan politik Sabah serta autonomi PH Sabah dalam menentukan pendekatan terbaik bagi menghadapi pilihan raya negeri.
“Ini adalah satu keunikan politik Malaysia dan juga di Sabah yang harus mendapat pengiktirafan, persamaan dan penghormatan daripada semua rakan-rakan parti bukan hanya dalam gabungan tapi di luar parti.
“Sudah tentu rakan-rakan komponen memberi maklum balas dan pandangan mereka mengenai keputusan kita menggunakan logo sendiri tetapi sehingga hari ini Upko masih kekal dengan keputusan itu,” katanya.

Emon berkata langkah itu bukan perkara baru kerana ketika pilihan raya negeri Johor pada tahun 2022, PKR menggunakan logo sendiri manakala Amanah dan DAP menggunakan logo PH.
“Saya yakin mereka memahaminya, kalau di Johor, keputusan itu boleh dibuat sedemikian, saya tidak melihat kenapa Sabah harus ada kelainannya,” katanya.
Perbincangan kerusi dan pelancaran manifesto
Mengenai rundingan kerusi dalam PH Sabah, Ewon berkata pembahagian telah dimuktamadkan di peringkat negeri, namun parti-parti komponen masih perlu mengadakan perbincangan lanjut dengan kepimpinan pusat di Kuala Lumpur.
“Apa yang dimuktamadkan itu hanya akan lebih jelas semasa penamaan calon dengan mengambil kira pengalaman-pengalaman sebelum ini, apa yang diputuskan itu boleh berlaku perubahan pada hari penamaan calon.
“Misalnya ada yang akan bertukar kerusi, ada yang akan bertukar calon, jadi saya boleh katakan, hari terakhir perundingan itu adalah pada hari penamaan calon,” katanya.
Dia juga berkata PH Sabah berhasrat melancarkan manifesto pilihan raya secara serentak di seluruh negeri.
“Soal manifesto PH Sabah, saya berharap kita dapat lancarkan serentak untuk PH Sabah,” katanya.






