PETALING JAYA: Penerbit dan pengarah filem, Raja Azmi, 66, akan tetap mengambil tindakan undang-undang sekiranya pemilik sebuah jenama kasut tempatan terus bersikap ‘lepas tangan’ berhubung isu logo animasi popular, Anak Anak Sidek yang digunakan tanpa kebenaran.
Kata Raja Azmi atau Raja Azmi Raja Sulaiman, isu berkenaan bukan kes ringan justeru beliau berharap pihak berkenaan datang berjumpanya untuk berbincang dan mencari penyelesaian.
“Untuk pertandingan atau apa, memang tidak boleh sembarangan ambil kerana ini berkait rapat soal hak cipta.
“Ini bukan semudah ambil komik saya kemudian mohon maaf dan pulangkan. Ia salah kalau dilihat pada sudut undang-undang kerana saya telah daftarkan pemilikan logo itu di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO),” katanya.
Terdahulu, Raja Azmi meluahkan rasa kecewa terhadap pemilik sebuah jenama kasut yang secara tanpa kebenaran mencetak logo animasi tersebut pada produk keluaran mereka.
Penerbit filem Cinta 200 Ela itu telah memberi tujuh kepada pihak berkenaan untuk menyelesaikan isu tersebut secara berdepan sebelum tindakan undang-undang diambil.
Susulan itu, wakil jenama berkenaan, menerusi rakaman yang dimuat naik di TikTok, membuat permohonan maaf dan menjelaskan tidak merancang untuk menjual kasut yang tertera logo berkenaan sebaliknya hanya digunakan untuk pertandingan yang dianjurkan pihak mereka.
Individu berkenaan juga menegaskan dia tidak melakukan sebarang kesalahan dan katanya sekadar berniat untuk menyemarakkan lagi animasi Melayu tempatan.
Raja Azmi bagaimanapun menyeru pihak berkenaan agar berjumpa dengannya untuk menyelesaikan pertikaian mengenai hal tersebut.
“Diharapkan pihak mereka menghubungi saya, jika tidak saya terpaksa membawa isu ini ke peringkat lebih tinggi,” ujarnya.- UTUSAN






